APO BONDO EE… GST NI?




Beberapa hari lalu, aku ada duduk “minam” dengan beberapa kenalan di sebuah kedai mamak di Paroi Jaya. Antara kenalan tersebut ada yang berusia lebih tua dari aku. Menu “minam” macam biasa seperti tersenarai dalam Menu 1 Malaysia (the tarik + roti canai). Kenalan yang lebih tua tersebut makan “Roti John”. Nampak sedap je dia makan. He he he…. orang belanja, mestilah sedap! Semasa sesi “minam” tu, banyak perkara yang diperbualkan dan diceritakan. Itulah keajaiban perbincangan “warung the tarik”. Semua isu dan permasalahan dunia dibincangkan dan turut dicadangkan resolusi-resolusinya tetapi masalah diri sendiri tak dapat nak selesaikan. Antara tajuk perbualan masa itu adalah mengenai Bajet 2014 yang baru dibentangkan oleh DS Najib beberapa hari lalu. Cerita punye cerita keluar topik pasal GST. “Apo bondo ee..?” Tanya kenalan aku yang lebih tua tersebut.GST! Ulang kawan aku yang sorang lagi. “ Apo bondo ee.. GST ni? Tanya dia lagi dengan mulut penuh mengunyah Roti John. 

Sebenarnya bukan "Abang Roti John" kenalan aku sahaja yang tidak tahu apa GST ni. Ramai lagi rakyat di peringkat akar umbi yang tak faham apa dia GST ni. Hal GST ini kian dijadikan isu pembangkang dengan dakwaan GST ini adalah mekanisme percukaian kerajaan untuk menyerang poket rakyat. Dengan adanya GST ini harga barang dan perkhidmatan akan melambung dan akhirnya menyusahkan rakyat.Jika rakyat tidak ada maklumat, maka dakyah pembangkang ini akhirnya akan termakan dek rakyat. 

Dalam hal ini aku kena akui kurangnya penerangan serta maklumat yang sampai kepada rakyat mengenai GST. Kalau ada penerangan pun bentuk penerangannya sungguh teknikal dan akhirnya orang ramai malas nak baca apatah untuk memahaminya.Suatu penerangan yang mudah difahami serta seragam perlu diberikan kepada orang ramai tentang GST ni. Namun pada pengalaman lalu bila sesuatu perkara timbul, berbagai ejensi nak bagi penerangan ikut tafsiran sendiri. Jabatan Perdana Menteri bagi penerangan, KPDNKK nak bagi penerangan, JASA nak bagi penerangan, KEMAS nak bagi penerangan dan bermacam ejensi lagi nak bagi penerangan. Kadangkala penerangannya lebih ikut stail penceramah dan kadangkala bercanggah fakta antara satu sama lain. Selalunya audiens sesi penerangan adalah orang UMNO . Pergi sesi dengar , makan meehoon dengan karipap ,lepas tu balik. Bila ditanya apa isi penerangannya , susah mereka ni nak perjelaskan. Macam aku terkena la baru-baru ini. Tajuknya TAKLIMAT KESELAMATAN NEGARA bertempat di KLANA RESORT dengan DS Hishamuddin sendiri yang memberi penerangan. Bila aku pergi dengar tak de satupun pasal keselamatan Negara hanya lebih penerangan untuk MENYELAMATKAN jawatan Naib Presiden UMNO dia!Macamana orang UMNO nak terangkan isu kepada akar umbi? Tajuk lain tapi isi penerangannya lain! 

Berbalik kepada cerita GST ni aku pun cubalah mengolahkan kepada Abang Roti John ni. GST ini adalah singkatan ayat omputih “GOODS AND SERVICES TAX”. Dalam bahasa Melayunya “ CUKAI BARANGAN DAN PERKHIDMATAN”. GST ini bukan benda baru di dunia ni. Dengarnya 160 buah Negara telahpun melaksanakan sistem GST ini. 

Kat Malaysia sekarang ni , selain dari cukai pendapatan, cukai tanah, cukai pintu, cukai ekspot, cukai hartanah dan lain-lain cukai yang kita tahu ada sistem cukai yang dikenakan atas barangan yang dibeli dan atas perkhidmatan yang diberikan. Contohnya, pengilang beli biji kopi dia kena bayar harga kopi dan 10% cukai Jualan (dikenakan di bawah Akta Cukai Jualan 1972) Jika kita minam kopi di hotel, pihak hotel kenakan cukai Perkhidmatan sebanyak 6% pada harga kopi yang kita bayar(dikenakan di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 1975) . Melihat susur galurnya kopi yang kita minum tu da dikenakan cukai dua kali iaitu 16%. Masa kita minum kopi di hotel kita tak sedar pun. Apatah lagi bila kopi yang kita hirup orang yang belanja. Bila GST dilaksanakan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan dimansuhkan kita bayar cukai sekali sahaja iaitu sebanyak 6% . Tiada pertindihan lagi dalam system GST. Sebelum ni cukai yang dikenakan agak tinggi tapi kita tak sedar. Bukan baru setahun dua tapi sejak tahun 1975. Sejak den umur 5 tahun lagi! Jadi bila cukai berganda ini dimansuhkan dan digantikan dengan GST harga barang akan jadi murah sebenarnya.

Namun perlu diingat bila GST ini dilaksanakan pada April 2015 banyak juga barang-barang yang sebelum ini tidak dicukai akan dikenakan cukai. Pengecualian diberikan kepada barangan makanan asas, perkhidmatan yang diberikan Kerajaan dan perkhidmatan terpilih yang banyak digunakan rakyat. Cukai atas bil air dan elektrik juga dikecualikan pada kadar penggunaaan tertentu.Pendek kata perlaksanaan GST tidak sangat memberi kesan kepada rakyat kebanyakan. Bukan seperti yang diuar-uarkan pembangkang!

Mungkin yang akan bising adalah pengilang, peniaga dan saudagar besar sebab bahan yang mereka gunakan akan dikenakan GST walhal sebelum ini bahan tersebut tidak dikenakan cukai. Atas alasan ini pihak pembangkang mendakwa pengilang, peniaga dan saudagar besar akan menaikkan harga barang.Pihak Kerajaan sudah menduga ini akan menjadi polemik tetapi dengan adanya Akta Anti Pencatutan yang baru diluluskan, aktiviti meningkatkan harga sewenangnya hanya kerana dek perlaksanaan GST, dapat dikekang. Ini juga tidak bermakna Kerajaan yang ada sekarang ini mahu menekan golongan pengilang,peniaga dan saudagar besar ini. Insentif pengurangan dan potongan cukai korporat/syarikat diberikan. Syarikat –syarikat yang terlibat adalah syarikat –syarikat besar yang berpendapatan lebih RM 500,000 setahun. Syarikat kecil adalah dikecualikan. 

Walaupun secara amnya diniatkan masyarakat kebanyakan tidak terkesan dengan perlaksanaan GST tetapi tidak dinafikan akan ada golongan masyarakat merasa kesan GST kerana pembelian dan penggunaan khidmat tertentu mengikut keperluan mereka. Contohnya pembayaran yuran guaman untuk membeli rumah turut dikenakan 6% GST.Kepada penduduk yang membayar cukai, struktur pencukaian pendapatan di semak semula bersama insentif ,rebat dan potongan cukai yang menarik. Bagi golongan yang tidak membayar cukai jumlah Bantuan BR1M dipertingkatkan bersama dengan bantuan 1 Malaysia yang lain. Ini adalah niat Kerajaan untuk mengharmoni serta memakmurkan rakyat sekaligus memastikan perlaksanaan GST ini tidak membebankan rakyat. 

Oleh itu Abang Roti John tak payahlah risau sangat pasal GST. Sambunglah makan Roti John tu. Tak kena cukai pun!

Comments

Popular posts from this blog

Tugu Peringatan Sg Lui?

KETUANAN MELAYU DI NEGARA INI HENDAK DITAMATKAN?

KENAPA ANGKUH SANGAT YB?