KETUANAN MELAYU DI NEGARA INI HENDAK DITAMATKAN?


Baru-baru ini YB Menteri Belia dan Sukan telah mengeluarkan suatu kenyataan yang kontroversi dan telah menyentuh sensitiviti ramai orang Melayu di negara ini. Beliau mengatakan bahawa Kerajaan PH akan menamatkan era Ketuanan Melayu dan memulakan era kesaksamaan.





Menteri Belia dan Sukan seharusnya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana apa yang keluar dari mulut Menteri,rakyat berhak menganggapnya sebagai dasar kerajaan PH yang diwakili beliau!

Ramai yang berpandangan bahawa Menteri Belia ini masih muda dan tindakannya umpama “kambing” yang baru tanggal gigi susu! Ramai turut berpandangan beliau sendiri tidak memahami isi apa yang diperkatakan. Tetapi apa yang lebih memeranjatkan, ada juga bekas pemimpin seperti TS Rafidah Aziz yang mengeluarkan kenyataan yang hampir serupa iaitu “menukarkan ketuanan Melayu dengan ketuanan Malaysia”.  




Sekian lamanya menjadi Menteri dan memimpin pergerakan sayap wanita UMNO tetapi masih lagi dia tidak memahami apa erti “Ketuanan Melayu”! Amat menyedihkan! Jadi selama dia menjadi pemimpin melaungkan Ketuanan Melayu ini, apa yang dilaungkan sebenarnya? Adakah masa dia berkuasa sahaja “Ketuanan Melayu” ini terpakai? Setelah tiada jawatan dan tiada kuasa “Ketuanan Melayu” ini di buang  dan gantikan pula dengan “Ketuanan Malaysia”! Ketuanan Malaysia itu apa? Adakah ia sama dengan konsep samarata DAP iaitu “Malaysian  Malaysia”?

Ada yang mengatakan konsep Ketuanan Melayu ini menindas kaum lain. Perlu dinyatakan konsep ketuanan Melayu ini bukan seperti “Aryan Supremacist” seperti dilaksanakan oleh Adolf Hitler dan kemudiannya “White Supremacist”  dan “Dasar Apartheid” yang berpaksikan kepada kebencian dan irihati kepada bangsa lain. Pada mereka bangsa lain adalah kasta yang lebih rendah dari bangsa mereka yang berkulit putih.


Ketuanan Melayu bukan lahir dari kebencian kepada kaum lain. Ketuanan Melayu lahir dari sejarah perjuangan orang Melayu menentang tindakan Inggeris meragut kuasa Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah di negeri-negeri tanah Melayu dan orang Melayu yang merupakan rakyat Raja dan juga sebagai penduduk asal Tanah Melayu. Orang Melayu  hendak disamaratakan hak mereka dengan kaum yang mendatang di tanah Melayu sebagai rakyat Queen of England  melalui Gagasan Malayan Union. Orang Melayu bangkit menentang Gagasan Malayan Union dan ketika itulah UMNO ditubuhkan sebagai wadah bagi memperjuangkan hak Melayu dan Institusi Raja-Raja Melayu. Acapkali ditunjukkan dalam gambar dan dokumentari di mana duli-duli yang maha mulia Raja-Raja Melayu yang berdiri dianjung Hotel Station Kuala Lumpur menitiskan air mata melihat keberanian orang Melayu sebagai Rakyat Raja bangkit menyokong Raja-Raja Melayu selaku raja dan tuan mereka di tanah Melayu ini. Mengikut suatu perpektif sejarah, pada saat ini lah termeterai suatu perakuan atau persefahaman tidak bertulis bahawa orang Melayu adalah rakyat dan Raja sebagai tuan yang akan mempertahankan hak rakyatnya di tanah air ini!  Inilah dinamakan KETUANAN MELAYU!


Orang Melayu berhimpun di depan Hotel Station Kuala Lumpur menyokong teguh Raja-Raja Melayu dan menentang Malayan Union.


Orang Melayu yang melaungkan Malaya (Tanah Melayu) untuk Orang Melayu sebagai slogan menentang Malayan Union





Keratan akhbar menunjukkan Raja Melayu, Permaisuri  dan Orang Melayu bersama bergandingan membantah Malayan Union

Dengan perjuangan berterusan UMNO dan orang Melayu , Tanah Melayu akhirnya berjaya mendapatkan kemerdekaan secara aman. Namun pihak Inggeris telah meletakkan syarat tentang penerimaan orang bukan Melayu sebagai rakyat sekiranya kemerdekaan ingin dikecapi. Oleh itu suatu tolak ansur dimeterai bahawa orang bukan Melayu diberikan kerakyatan bersama hak mereka sebagai rakyat dijamin dan orang bukan Melayu perlu pula mengiktirafkan Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah dan orang Melayu sebagai rakyat raja yang diberikan hak keistimewaan yang akan dipertahankan oleh Raja-Raja Melayu seperti perakuan tidak bertulis yang disebutkan sebelum ini. Ada yang menggelarkan ini adalah tolak ansur, ada yang mengatakan tolak ansur ini sebagai Kontrak Sosial. Apa yang pasti, perakuan tidak bertulis atau KETUANAN MELAYU ini telah di maktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras dan tunjang kepada pembentukan dan pentadbiran negara ini.


Jika ada yang mempersoalkan, “mana ada konsep ketuanan Melayu ini disebut dalam Perlembagaan?”Jawapannya memang tiada secara langsung TETAPI jika peruntukan perlembagaan Persekutuan dibaca dan dibelek satu-persatu, apa yang dikatakan perakuan tidak bertulis atau konsep ketuanan melayu ini, wujud dalam perlembagaan.

Perkara 32  Perlembagaan Persekutuan (PP) menyatakan Yang DiPertua Agong adalah Pemerintah Utama kepada Persekutuan (Malaysia) dan Perkara 32(3) PP  menyatakan Yang diPertuan Agong (YDPA) hendaklah dilantik oleh Majlis Raja-Raja dari mana-mana negeri beraja. Untuk rekod, Raja atau Sultan adalah Melayu.
                                                              
Perkara 3 PP  menyatakan Agama Islam adalah Agama Persekutuan (negara) dan YDPA adalah Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan, Sabah , Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang manakala duli-duli yang maha mulia Sultan adalah Ketua Agama Islam di negeri-negeri lain. Perkara 160 PP juga menyatakan Islam adalah agama orang Melayu.

Perkara 152 PP menyatakan bahawa Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan menurut Perkara 160 PP Bahasa Melayu adalah bahasa digunakan dan dipertuturkan oleh orang Melayu dan bahasa orang Melayu adalah bahasa rasmi negara.

Perkara 153 PP menyatakan tentang TANGGUNGJAWAB YDPA UNTUK MENJAGA DAN MEMPERTAHANKAN  hak keistimewaan orang Melayu dengan memberikan kuota untuk biasiswa, peluang melanjutkan pelajaran ke university dan kolej, fasiliti latihan , pemberian lesen dan permit untuk operasi perniagaan dan jawatan dalam perkhidmatan awam. Hak ini juga dipanjangkan kepada Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Perkara 153 PP ini di awasi ketat oleh Majlis Raja-Raja dan sebarang perubahan polisi dan pentadbiran berkaitan hak keistimewaan orang-orang Melayu hendaklah dirujuk kepada  majlis Raja-Raja terlebih dahulu. Ini dinyatakan dibawah Perkara 38 PP. Sekiranya ada undang-undang yang mahu diluluskan yang menjejaskan keistimewaan orang Melayu, Majlis Raja-Raja berhak untuk tidak bersetuju dan menolak undang-undang tersebut. Begitu juga undang-undang yang mahu diluluskan yang menyentuh dan menjejaskan keistimewaan ,kedudukan dan kemuliaan Raja-Raja Melayu.

Adakah ini yang hendak dihapuskan oleh Kerajaan PH seperti kata YB Menteri Belia dan Sukan itu? Hapuskan keistimewaan,kedudukan dan kemuliaan Raja-Raja Melayu? Hapuskan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan? Hapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang dipertanggungjawabkan kepada YDPA dan Raja-Raja Melayu mempertahankannya? Setelah Raja-Raja Melayu bersama orang Melayu terdahulu berkorban dengan “darah dan air mata” supaya semua ini tidak diragut oleh inggeris dan demi untuk anak bangsa masa hadapan,tiba-tiba seorang anak Melayu bernama Syed Saddiq yang telah merasa berbagai nikmat hasil perjuangan orang Melayu terdahulu HENDAK HAPUSKAN SEMUANYA! Adakah sanggup dilihat perjuangan dan pengorbanan mulia orang Melayu terdahulu dipersiakan?

Juga persoalan kepada TS Rafidah, adakah kesemuanya ini hendak dihapuskan dan mencipta ketuanan Malaysia yang kabur dan tidak disokong oleh peruntukan Perlembagaan?

Kepada Menteri Belia dan Sukan, semua ini YB boleh tahu jika YB ikuti dan hayati modul kursus oleh Biro TataNegara (BTN). Namun YB tidak pernah nak semak dan nak ambil tahu. Tup-tup, YB mansuhkan BTN.Apolah yang YB dok fikir dan buat? 


??????

Fikir-fikirkanlah!

Comments

Popular posts from this blog

Tugu Peringatan Sg Lui?

Masjid Kg Ulu, Melaka Tengah,Melaka 1728: Aku pernah berucap di dalamnya!