SELAMAT DATANG TAHUN 2014


1. Tahun 2013 kian sampai ke penghujung dan tahun 2014 kian hampir menjengah.Tahun 2013 pastinya melakarkan berbagai peristiwa yang akan menjadi lembaran sejarah untuk diingati  oleh masing-masing dalam kita semua meniti ke usia matang.

2, Lazimnya setiap kedatangan tahun baru akan disulami dengan pertanyaan " Apakah azam pada tahun baru". Ironinya azam tahun 2013 dan yang lepas-lepas masih belum tercapai , inikan pula mahu menambah item baru dalam senarai azam yang kian lama kian panjang . Dari seorang individu ke individu azam peribadi mungkin berlainan tetapi "azam terpaksa" yang popular kepada hampir kebanyakan rakyat Malaysia adalah untuk berjimat cermat dalam berbelanja memandangkan pengumuman kenaikan harga tarif elektrik , kadar tol dan juga kenaikan harga barang-barang.

3.  Semasa Perhimpunan Agung UMNO 2013 baru-baru ini , walaupun  ada desakan dari Khairy Jamaludin dan saf sayap pemuda UMNO untuk mengkaji semula atau menangguhkan kenaikan tarif elektrik, DS Najib menegaskan bahawa kenaikan tidak dapat dielakkan dan Kerajaan harus merasionalkan pemberian subsidi untuk terus kukuh. Namun secara peribadi aku dapati sukar nak menerima penegasan DS Najib tersebut kerana kepuusan itu adalah hasil nasihat dari PEMANDU (Badan Pemikir Ekonomi Kerajaan) dan kerana mahu firma penarafan kewangan MOODY & PRICE menaikkan taraf kewangan negara dari A4 ke A2. Katanya lagi jika Kerajaan terus menanggung subsidi sebanyak 46 bilion setahun,penarafan tidak akan dinaikkan dan sukar bagi negara untuk mendapat pinjaman luar bagi membiayai pembangunan negara yang menuju ke arah negara maju.

4. Penegasan dan penjelasan DS Najib yang berciri global tersebut mungkin boleh diterima oleh sesetengah pihak tetapi adakah kebanyakan masyarakat boleh menerimanya? "Bukannya PEMANDU atau MOODY & PRICE nak bayar bil letrik aku dan bukannya PEMANDU atau MOODY & PRICE yang nak menanggung kenaikan harga barang yang perlu dibeli!" Tambahan pula penegasan dan penjelasan sedemikian dbuat oleh Presiden UMNO dan dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO , rakyat yang berang akibat kenaikan harga barang dengan mudah mengalihkan rasa kemarahan mereka kepada UMNO walhal kenaikan harga barangan bukannya keputusan UMNO ! Adakah perlu polemik lama " Parti Menguasai Kerajaan dan bukan Kerajaan menguasai Parti" dimainkan semula ?

5. Tamat sahaja Perhimpunan Agung UMNO , tup-tup Kerajaan mengumumkan bahawa harga tol lebuhraya bakal dinaikkan. Peergh! Lepas satu, yang lain pulak naik. Apa jadi dengan janji Barisan Nasional untuk tidak akan menaikkan harga barang sekiranya menang Pilihanraya? Pilihanraya 13 sudah berlalu dan Barisan masih mentadbir Malaysia tetapi harga barang naik juga. Ini bagaikan memberikan bola tanggung kepada pihak pembangkang. Mereka hadir dengan berbagai wajah seperti "TURUN , Gabungan Mahasiswa dan sebagainya. Isu kenaikan barang  dijadikan senjata utama untuk mengikis kepercayaan rakyat kepada Kerajaan.

6. Menambahkan lagi sakit di jiwa apabila Pak Menteri dengan angkuhnya memberi kenyataan berkaitan kenaikan harga tol. Katanya " Jika tidak mahu guna lebuhraya gunalah jalan Persekutuan(tidak ada tol)"! Ini mengingatkan aku kepada satu lagi "bloopers" seorang lagi Pak Menteri berkaitan kenaikan harga ayam " Kalau ayam mahal, jangan makan ayam, makan daging atau ikan!" Kenyataan macam ini menggoyahkan lagi keyakinan rakyat kepada Kerajaan hingga lelucuan di cipta tentang fenomena ikan mendarat di pantai Lahad Datu dikatakan dek kenyataan Pak Menteri Lautan " kalau mahal hidup di laut pergilah hidup di daratan"! Itu yang menyebabkan berlambak-lambak ikan mendarat di pantai Lahad Datu tanda protes!

7. Dalam isu kenaikan tariff elektrik dan harga tol, kelihatan seolah-olah Kerajaan tidak ada alternatif lain dan seolah-olah terpaksa menurut. Malah dalam kenaikan harga tol seolah-olah kelihatan syarikat-syarikat konsesi tol mengugut Kerajaan!Pandangan rakyat seolah-olah tidak dihiraukan!Mungkin rakyat miskin diberi banyak bantuan tetapi golongan pertengahan pula dikikis kemampuan membeli (power of purchase) mereka. Inilah golongan teramai di Malaysia dan merupakan golongan pengundi teramai di negara ini. Golongan yang kaya-raya pula memang mungkin langsung tidak terjejas. Dalam kebuntuan memikirkan perkara ini ,Tun Dr Mahathir keluarkan kenyataan yang lebih munasabah dan wajar. Memang boleh dipercayai sebab dia pernah memerintah Malaysia hampir dua dekad dan Malaysia mengecapi kemajuan dan kemakmuran di bawah pentadbiran beliau! WHY NOT CONSIDER HIS OPINION? IT IS SENSIBLE AND LOGICAL!


8. Wawasan 2020 yang telah kita faham dan menjadi asas pembangunan negara ke arah negara maju 2020 adalah untuk menjadi negara maju mengikut acuan sendiri. Bukan menurut apa kata MOODY & PRICE ! Kemudahan Infrastruktur seperti lebuhraya dibina untuk memudahkan rakyat dan untuk memacu pembangunan negara dan bukan suruh rakyat kembali ikut jalan lama yang dimahukan tetapi solusi yang munasabah!

Aku orang UMNO dan hingga hujung nyawa InsyaAllah  aku masih orang UMNO. Begitu juga sahabat-sahabat aku yang lain. Namun kami juga rakyat biasa ! Rasa perit bakal menanti kami di tahun 2014! Sebelum menutup tirai penulisan bagi tahun 2013 aku ingin ambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada sahabat aku Sdr Muhammad Fikri dan kedai kain ZULDA MASRI Ampangan kerana memberikan sumbangan wang dan pakaian sekolah kepada anak-anak yang memerlukan di cawangan aku dalam program Kembali ke Sekolah. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh membalas kebaikan dan jariah mereka. Aku ucapkan Selamat Menyambut Tahun 2014 kepada semua dan sesungguhnya kepada orang biasa seperti aku kita, bakal berkongsi "azam terpaksa" yang  sama.Wassalam.


Bersama Sdr Muhamad Fikri, Setiausaha UMNO Cawangan Jalan Kuala Pilah mengacu baju anak yang memerlukan di kedai kain ZULDA MASRI Ampangan.

Comments

Popular posts from this blog

Tugu Peringatan Sg Lui?

KETUANAN MELAYU DI NEGARA INI HENDAK DITAMATKAN?

KENAPA ANGKUH SANGAT YB?