HORMATI PENDIRIAN ORANG MUDA




“This world demands the qualities of youth: not a time of life but a state of mind, a temper of the will, a quality of imagination, a predominance of courage over timidity, of the appetite for adventure over the love of ease.”
— Robert F. Kennedy.

Ini adalah petikan kata-kata dari seorang senator Amerika terkenal, Robert F. Kennedy (1925-1968) bahawa dunia ini sememangnya memerlukan kualiti orang muda untuk menghadapi cabaran kelangsungannya. Dalam konteks kenegaraan, sememangnya tidak boleh dinafikan peranan orang muda dalam menentu hala tuju dan masa depan sesebuah negara. Kerajaan dan kepimpinan Barisan Nasional yang telah memegang tampuk pemerintahan negara ini selama 61 tahun telah “direhatkan” sebahagiannya berpunca dari undi orang muda yang tidak memihak kepada Barisan Nasional. Kemungkinan orang muda di negara ini mahu menguji blok pentadbiran lain untuk membuktikan kaedah pentadbiran mereka lebih baik dari blok pentadbiran sebelumnya. Ini adalah suatu proses amalan demokrasi dan mungkin timbul dari “kemahuan untuk mencuba lebih mengatasi kesukaaan untuk duduk selesa”

Kepentingan orang muda sebagai pemimpin negara di masa hadapan adalah suatu aspek yang diambil serius di negara ini. Buktinya, ada undang-undang yang spesifik untuk belia di negara ini iaitu Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007. Akta ini antara lain untuk mendaftarkan pertubuhan belia, menggalakkan dan memudahkan pembangunan belia di Malaysia dari aspek pendidikan, penyelidikan dan pembangunan sumber manusia. Akta ini juga memberi ruang untuk orang muda memimpin dan mengasah bakat kepimpinan mereka melalui pertubuhan atau persatuan belia. 

Menjadi ahli dan menjadi pemimpin dalam pertubuhan atau persatuan belia serta menyuarakan rasa belia adalah manifestasi dari hak yang dijamin oleh Perlembagaan Negara ini iaitu dibawah Artikel 11 yang menjamin hak kebebasan bersuara, kebebasan berekspresi dan kebebasan berpersatuan. Hak-hak ini menjamin apa jua prinsip dan idealogi yang sah dipegang oleh ahli atau pemimpin belia, termasuk kecenderungan dan sokongan politik. Ini adalah dibenarkan dan seharusnya dihormati dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti Malaysia. Selagi kecenderungan itu tidak bersifat subversif dan boleh mencetuskan kacau ganggu ( seperti menyokong Daesh,LTTE dan sebagainya), ia adalah sah dan harus dihormati.

Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Bertindak Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Sembilan telah mengeluarkan suatu kenyataan yang aneh iaitu menyarankan agar kepimpinan belia di Negeri Sembilan perlu bersifat neutral. Beliau dipetik sebagai berkata,”..pada masa sama kita pun bersifat terbuka bersedia dengar kritik dan terima pandangan. Tapi jika ada dalam kalangan kepimpinan belia yang ada jawatan tertinggi dalam parti sudah tentulah keinginan mereka nak naikkan parti politik disokong dan jatuhkan parti lain.Sebab itu saya beri isyarat supaya mereka buat keputusan lepaskan jawatan dan beri peluang kepada kepimpinan baharu yang benar-benar ingin bersama kerajaan atau sekurangnya bersifat neutral membawa perjuangan belia di negeri ini”.






Pelik benar bunyi kenyataan EXCO ini! Jika pemimpin belia itu cenderung atau memegang jawatan dalam parti lawan, pemimpin belia itu diminta mengundur diri tetapi jika pemimpin belia itu menyokong kerajaan atau bersifat “lalang” barulah boleh memimpin gerakan belia di negeri ini. EXCO Belia dan Sukan negeri terdahulu seperti Dato’ Zakaria, Dato’ Ir jamlus dan Dato’ Abdul Samad TIDAK PERNAH memberikan saranan berupa demikian. Kemungkinan mereka faham dengan erti kepimpinan dan pergerakan belia di negeri ini. Memberikan saranan sedemikian, EXCO tersebut seolah-olah menyatakan bahawa dasar kerajaan Negeri Sembilan adalah memberi layanan berbeza kepada pemimpin belia di negeri ini berdasarkan kecenderungan politik. Ia juga suatu saranan yang mendiskriminasikan pemimpin belia di negeri ini. Rungutan juga telah mula didengari di mana ada pemimpin belia mendapat panggilan telefon yang memberikan kata dua sama ada melepaskan jawatan dalam UMNO atau berundur dari kepimpinan persatuan belia.Tindakan ini dilihatkan menghina kepada prinsip peribadi seorang pemimpin belia dan bersalahan dengan falsafah , dasar belia dan bersalahan dengan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.

Golongan muda atau belia adalah golongan yang sedang membina kehidupan. Di kalangan mereka ada yang terbit atau tampil menjadi pemimpin dan mereka perlu dibantu serta dinasihati untuk memimpin golongan belia ini ke arah yang dimaksudkan oleh dasar dan Akta TANPA MENGIRA prinsip dan kecenderungan politik mereka. Sekiranya dasar diskriminasi dan layanan berbeza diamalkan oleh kerajaan negeri, maka akan jadi sulitlah usaha untuk membangunkan belia di negeri ini. Kita mahu hasilkan pemimpin muda yang berani, mempamerkan kepimpinan yang baik dan efektif seraya menyantuni serta menghormati prinsip dan kecenderungan di kalangan mereka yang mungkin berbeza.Kita tidak mahu pemimpin belia yang hanya menurut seperti LEMBU DICUCUK HIDUNG!

Hormatilah pendirian orang muda!

Comments

Popular posts from this blog

Tugu Peringatan Sg Lui?

KETUANAN MELAYU DI NEGARA INI HENDAK DITAMATKAN?

Masjid Kg Ulu, Melaka Tengah,Melaka 1728: Aku pernah berucap di dalamnya!