Bila sistem demokrasi dipermainkan


Teka-teki mengenai kawasan Parlimen mana Presiden PKR akan bertanding telah terjawab. DS Anwar Ibrahim telah menyatakan kepada umum bahawa beliau akan bertanding di kawasan PARLIMEN PORT DICKSON (P132). Pengumuman ini dibuat sebaik sahaja ahli Parlimen Port Dickson (PD) , YB Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan perletakan jawatan sebagai ahli Parlimen PD untuk memberi laluan kepada DS Anwar Ibrahim bertanding di kawasan Parlimen tersebut.

          YB Danyal Balagopal Abdullah-Ahli Parlimen PD


Speaker Dewan Rakyat, setelah menerima surat perletakan jawatan dari YB Datuk Danyal Balagopal, akan mengisytiharkan kerusi Parlimen PD sebagai kosong dan Speaker akan menghantar notis kepada SPR menyatakan kekosongan kerusi tersebut. SPR kemudiannya dalam tempoh 60 hari hendaklah mengadakan suatu pilihanraya kecil di kawasan Parlimen PD bagi mengisi kekosongan tersebut. Ini semua adalah seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan mana-mana ahli Parlimen untuk meletakkan jawatan dan suatu pilihanraya diadakan untuk mengisi kekosongan akibat perletakan jawatan tersebut.

Itu apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan namun ada pihak yang meluahkan rasa kesal kerana sistem yang diperuntukkan oleh Perlembagaan ini dipermainkan demi untuk kepentingan peribadi atau kepentingan sebuah parti politik.

Semasa PRU-14 yang lalu YB Datuk Danyal Balagopal telah menjadi pilihan pengundi Port Dickson apabila telah memenangi kerusi PD dengan 36,225 undi menewaskan pencabar dari BN (18,515 undi) dan PAS (6,594 undi). Beliau juga telah mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen di hadapan Speaker seperti Jadual Ke-Enam Perlembagaan Persekutuan untuk dengan taat setia menjalankan tugasnya sebagai ahli dewan Rakyat kawasan PD sebaik mungkin. Persoalan timbul adakah apa yang dilakukan oleh YB Datuk Danyal Balagopal ini sebagai bukti taat setia menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat? Adakah dengan alasan untuk memberi laluan kepada DS Anwar adalah bukti taat setia  beliau menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat?

DS Anwar dan keluarganya sebelum ini telah ada rekod di mana beliau memanipulasi sistem demokrasi yang di peruntukkan demi kepentingan politik peribadi . Pada tahun 2008, penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh DS Wan Azizah dengan sengaja meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada DS  Anwar bertanding dalam PRK dalam kempen LANGKAH PERMATANG PAUH KE PUTRAJAYA. Pada 2014, kononnya untuk memberi laluan DS Anwar menjadi Menteri Besar Selangor, ADUN Kajang telah meletakkan jawatan untuk memberi laluan DS Anwar bertanding kerusi DUN tersebut . PKR menggelarkan tindakan itu sebagai LANGKAH KAJANG. Namun DS Anwar tidak jadi bertanding dan beliau diganti oleh DS Wan Azizah.Kini berlaku sekali lagi dan kali ini digelar LANGKAH PD ke PUTRAJAYA. Kesemua LANGKAH ini melibatkan DS Anwar dan perkara ini terjadi kerana beliau amat bernafsu untuk mendapat kuasa dan jawatan.Akibat nafsu, sistem demokrasi dibawah Perlembagaan telah dipermainkan!

Persoalan seterusnya adakah cita dan kehendak pengundi di kawasan-kawasan ini disantuni atau dihormati dengan cara begini?Adakah cita dan kehendak mereka dikhianati?

Setiap kali pilihanraya, sama ada PRU atau PRK, kos perlaksanaannya akan menggunakan wang dari Kumpulan Wang yang Disatukan iaitu dimana wang dan hasil Kerajaan Persekutuan di masukkan. Dibawah Perlembagaan,wang dan hasil ini adalah wang Kerajaan namun Kerajaan PH sering mengatakan ini "wang rakyat". Maka PRK PD atau Langkah PD ini akan menggunakan wang rakyat untuk membiayainya, akibat dek permainan politik DS Anwar Ibrahim dan PKR.

Sebelum ini Perdana Menteri heboh, YB Menteri Kewangan dan Menteri-Menteri Kerajaan PH heboh bahawa negara dalam keadaan keberhutangan yang tinggi,namun mengapa permainan politik yang memakan belanja dan menggunakan “wang rakyat” ini tidak dibendung oleh Kerajaan PH? Untuk rekod, wang yang dibayar dari Kumpulan Wang yang Disatukan (“wang rakyat”) untuk PRK LANGKAH PERMATANG PAUH ke PUTRAJAYA pada tahun 2008 adalah sebanyak RM 409,000-00 dan untuk PRK LANGKAH KAJANG pada tahun 2014 adalah sebanyak RM 1,600,000-00. Untuk LANGKAH PD ini,entah berapa juta ringgit “wang rakyat” akan digunakan demi untuk kepentingan politik peribadi! Adakah Kerajaan PH yang mendakwa mentadbir negara ini dengan baik, berintegriti dan secara” Rule of Law” hanya berdiam diri dan akan membiarkan permainan politik peribadi oleh DS Anwar ini?

Sudahlah rakyat menyumbang melalui Tabung Harapan untuk membantu Kerajaan PH membayar hutang yang kononnya mencecah 1 Trillion Ringgit. Namun dengan selamba “wang rakyat” hendak dibazirkan demi untuk suatu permainan politik peribadi?

Untuk rekod, Kerajaan BN dahulu tidak pernah melakukan perkara sebegini.


Fikir-fikirkanlah 




Comments

Popular posts from this blog

Tugu Peringatan Sg Lui?

KETUANAN MELAYU DI NEGARA INI HENDAK DITAMATKAN?

Masjid Kg Ulu, Melaka Tengah,Melaka 1728: Aku pernah berucap di dalamnya!