Thursday, November 28, 2013

Mengkorporatkan UMNO Perhubungan Negeri…..Perlu ke atau saje POYO?

1. Dalam mesyuarat UMNO Perhubungan Negeri baru-baru ini, YAB Dato’ Seri Mohamad Hasan selaku Pengerusi mengumumkan bahawa suatu badan yang beroperasi secara korporat  akan diwujudkan   untuk menguruskan urusan UMNO Perhubungan Negeri Sembilan.

2. Dalam pengumuman itu beliau menyatakan pada masa kini  pentadbiran UMNO tidak lagi di uruskan dengan asas kesukarelawan semata-mata tetapi perlu diuruskan secara serius oleh pekerja –pekerja yang bekerja sepenuh masa dan dibayar gaji.

3. Menurut beliau lagi kewujudan badan korporat ini tidak akan bercanggah dengan struktur Badan Perhubungan seperti yang sedia ada malah akan beroperasi selari dengan Badan Perhubungan Negeri dengan menguruskan beberapa fungsi biro  Badan Perhubungan seperti latihan kepada ahli, pengurusan media baru dan pendaftaran pengundi baru.

4. Inilah kali pertama aku mendengar sebuah badan di bawah struktur parti sahsiah hendak dikorporatkan operasinya. Tiada  negeri lain yang pernah mencadangkan atau melaksanakan . Malah Majlis Tertinggi UMNO yang mentadbir urus perjalanan badan-badan perhubungan, bahagian-bahagian mahupun cawangan-cawangan UMNO seluruh negara pun tidak pernah mengkorporatkan operasinya.

5. Mungkinkah ini dinamakan transformasi tetapi jika jawapannya “Ya” mengapa Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan sahaja? Kenapa tidak Majlis Tertinggi UMNO dahulu yang mengambil inisiatif serupa kerana melalui Fasal 12.1 Perlembagaan UMNO Majjlis Tertinggi yang menubuhkan badan-badan Perhubungan negeri. Memandangkan UMNO ini adalah sebuah parti siasah yang ditubuhkan dan dikelolakan berpandukan Perlembagaan maka perkara ini perlu dirujuk Perlembagaan. Persoalannya adakah dibawah Perlembagaan UMNO operasi Badan Perhubungan UMNO boleh di korporatkan?

6. Melihatkan kepada Fasal 12.13 tentang tanggungan kuasa dan kewajiban Badan Perhubungan Negeri segala tanggungan dan kewajiban tersebut boleh dijalankan dengan cara lazimnya dan tidak menerbitkan keperluan operasi  Badan Perhubungan dikorporatkan. Ia boleh diuruskan oleh seorang Setiausaha Perhubungan yang bijak dibantu pula oleh Setiausaha Kerja yang cekap serta anggota-anggota Badan Perhubungan yang digajikan. Oleh itu kenapa perlu nak dikorporatkan?

7. Pada pandangan aku, Badan Perhubungan ini dapat  berfungsi dengan baik sekiranya persetujuan dan keredhaan dari ketua-Ketua Bahagian-Bahagian UMNO dibawahnya atau jika tidak semua dari majoriti mereka. Dengan persetujuan dan keredhaan mereka ini biro-biro boleh dibentuk dan fungsi biro digerakkan termasuklah latihan,media baru mahupun pendaftaran ahli baru. Dalam situasi Negeri Sembilan mungkin dahulu sedikit sukar tetapi setelah pemilihan UMNO baru-baru ini ,perkara ini bukan lagi mustahil atau menyulitkan . Jika asas dan fungsi ini dikorporatkan apa gunanya serta apa maknanya lagi pandangan dan persetujuan dari bahagian-bahagian? Satu lagi persoalan timbul jika badan operasi ini tidak ada dalam Perlembagaan bolehkah badan operasi ini memberi apa-apa arahan kepada bahagian-bahagian untuk menjayakan fungsi-fungsi disebut tadi. Mungkin selepas ini banyak pertanyaan sama akan berulang kali di dengar, “Sapa kau”??

8. Dengar gembar-gembur pula, abang kepada Dato Mohamad Hasan  yang akan menjadi ketua badan operasi korporat. Bukankah ini bakal menyulitkan keadaan dan hubungan dengan bahagian-bahagian? Bak kata salah seorang anggota yang bertugas di Badan UMNO Perhubungan, “Entahlah esok nak dengar cakap Dato’Hashim Rusdi ke atau Dato’ Azman?”

9. Persoalan yang bermain dalam kepala aku adakah dengan ada penerima-penerima  gaji sepenuh masa UMNO ini akan lebih efisien? Bolehkah Badan Perhubungan mengambil ketetapan yang tidak ada dalam Perlembagaan? Walaupun Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan mahu mendabik dada sebagai Badan Perhubungan pertama di Malaysia yang beroperasi secara korporat tetapi adakah ia dibolehkan dalam Perlembagaan atau wujud ke keperluan sedemikian  atau saje nak POYO………?


10. Malam ini biarlah aku tidur dengan persoalan-persoalan itu…….

Saturday, November 23, 2013

PAI AYAM UNTUK KAK LONG…


Aku masih lagi ingat ketika kali pertama makan “homemade” pai. Masa itu aku masih lagi menuntut di Kuala Kangsar . Tak salah aku masa itu aku di Tingkatan 3. Masa itu ada cuti umum di hujung minggu jadi hari Isnin berikutnya adalah hari cuti. Nak balik ke Seremban rasanya cuti terlalu singkat. Sahabat aku Farizal pula ajak balik ke rumah dia di Alor Setar . Memandangkan rasa bosan akan terasa jika duduk sahaja di asrama, jadi aku memohon untuk balik kampong. Bukan balik ko Sromban tapi pi Aloq Staq! 

Masa di Alor Setar aku diberitahu bahawa datuk sahabat aku ni adalah bekas Chef di Istana Kedah . Kemahiran datuk sahabat aku ni antaranya adalah buat pai dan pastry untuk santapan DiRaja. Ilmu dan kemahiran datuk sahabat aku ni rupanya diturunkan kepada ibu sahabat aku. Dalam masa singkat di Alor Setar itu sempat juga aku dihidangkan dengan pai Ayam dan pai Daging (home made). Itulah kali pertama aku merasa makan pai dan walaupun aku tidak pernah merasa makan pai sebelum itu tetapi bagi aku hingga kini itulah hidangan pai yang paling sedap pernah aku rasa!

Itu kenangan aku tentang “homemade” pai dan kini seperti situasi aku juga ibu sahabat aku tersebut telah kembali ke rahmatullah. Namun pai allahyarham ibu sahabat aku itu telah meninggalkan kesan dalam diri aku. Masih aku ingat allahyarham ibu sahabat aku pada masa itu adalah seorang ibu tunggal, mempunyai 3 orang anak yang masih belajar. Walaupun dalam kesibukan mengatur-urus kehidupannya , namun apabila anaknya meminta untuk makan pai,tanpa rungutan beliau membuatnya. Sedap plak tu! Tapi aku percaya jika sesuatu masakan dibuat dengan penuh rasa kasih sayang tentu masakan itu akan jadi sedap dan enak walaupun makanan itu ringkas sahaja. 

Kenangan ini mengajar aku tentang kasih ibu kepada anaknya. Ia juga mendorong aku belajar untuk masak pai sebab kenangan kelazatan pai masakan “homemade”. Setelah beberapa kali mencuba , berjaya juga aku buat walaupun mungkin tidak sesedap masakan Allahyarham ibu sahabat aku tu. Sekarang ini anak pertama aku Kak long sedang menghadapi peperiksaan SPM dan selain dari bagi duit dan ziarah dia di asrama aku berkeputusan nak buatkan untuk kak long pai ayam sebagai simbol sokongan moral dan kasih ayah kepada anaknya. Bukan nak ajar sesiapa tetapi aku nak kongsi di sini bagaimana aku buat pai untuk Kak Long.

Pertamanya, isi pai iaitu kentang dipotong dadu (direbus sampai lembut), daging ayam di potong dadu dan bawang besar dipotong dadu.

Keduanya, tumiskan bawang besar tadi, campurkan 2 sudu sos tiram dan gaulkan.Kemudian campurkan ayam dan bawang tadi. Untuk rasanya campurkan sedikit garam ,kicap manis , sos tomato dan sos cili untuk rasa manis masam dan sedikit pedas, Campurkan sedikit air dan tepung jagung . Kacau sampai pekat dengan api yang kecil/sederhana. Bila dah pekat, tutup api maka inti pai dah pun siap! 

                                                        Isi pai di masak dahulu

Ketiga, buat dough untuk pai. Tak payah susah-susah nak menganyam/menguli tepung untuk buat dough. Pergi beli puff pastry dan pastry cups di Tesco. Siapkan puff pastry dalam pastry cups untuk dasar pai. Masukkan sekejap dalam oven untuk 10 minit dengan suhu yang sesuai. Ini supaya puff pastry  di dasar itu tidak mentah bila pai siap dimasak nanti.




Keempat, bila puff pastry dah setengah masak keluarkan dari oven dan masukkan isi pai. Kemudian ambil puff pastry lain dan tutupkan pai tersebut. Buat sedikit “egg wash”(pakai kuning telur dan berus masakan)  atas puff pastry itu untuk naikan warna menarik untuk pai tersebut.


Isikan inti pai dalam pai cups

Tutup pai dengan puff -pastry sheet

"Egg -wash"

Kelima, masukkan pai yang telah di tutup dan telah di “egg wash”tadi dalam oven untuk 30 minit dengan suhu yang sesuai . Tak perlu cucuk lubang atas pai itu sebab saiznya kecil,tetapi jika buat saiz besar cucukkan beberapa lubang untuk isi dan dasarnya masak. Tengokkan dari masa ke semasa . Jika perlu buat “ egg wash” lagi untuk menampilkan rupa menarik untuk pai tersebut.


Ini rupanya bila dah siap!
  
Ini adalah pai versi aku sendiri. Mungkin tidak sesedap seperti masakan Allahyarham ibu sahabat aku itu tetapi bolehlah ditelan. Apa yang perlu adalah dibuat dengan penuh rasa kasih sayang dan Insya Allah sedaplah pai itu. Untuk Kak Long, inilah pai dari ayah untuk Kak long….

Saturday, November 16, 2013

BOS! Mintak RM 8 juta setahun untuk orang Melayu di Negeri Sembilan, boleh?

1. Baru-baru ini dilaporkan dalam akhbar arus perdana bahawa sebanyak RM 20 juta daripada rizab Kerajaan Negeri Sembilan akan diperuntukkan untuk tabung khas dikenali sebagai Tabung Amanah Penyelesaian Masalah Rakyat (TAPMR) bertujuan untuk menyelesaikan pelbagai masalah rakyat seperti bencana alam dan kerosakan infrstruktur tanpa menunggu pembentangan dan kelulusan Belanjawan Negeri untuk menyelesaikan masalah rakyat.

 2. Menurut Menteri Besar lagi RM 20 juta ini akan diambil dari rizab Kerajaan yang terkumpul iaitu sebanyak RM 438 juta dan wang ini boleh digunakan secara terus untuk menyelesaikan masalah rakyat.




3. Tahniah dan syabas diucapkan kepada Menteri Besar dan pihak Kerajaan negeri yang dapat mengumpul rizab yang banyak dan dapat digunakan untuk manfaat rakyat. Berdasarkan fakta ini rasanya Kerajaan negeri tidak mempunyai masalah kewangan jika suatu Tabung untuk menyelesaikan permasalahan ekonomi Bumiputera/Melayu turut ditubuhkan di Negeri Sembilan. 

4. Seharusnya juga penubuhan Tabung ekonomi Bumiputera/Melayu tidak akan mengundang isu atau perbahasan yang panjang dalam Sidang DUN di NSDK. Ini kerana Agenda Memperkasakan Ekonomi Bumiputera telahpun dijadikan dasar negara oleh DS Najib melalui ucapan beliau semasa merasmikan Majlis Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera baru-baru ini. Jika mahu, Kerajaan negeri hanya mengambil serta menggunapakai (adopt)dasar ini dalam pentadbiran Kerajaan negeri. Lagipun untuk meluluskan dasar ini tidak memerlukan sokongan 2/3 majoriti dalam Dewan Undangan Negeri, hanya majoriti mudah , memadai.Persoalannya, wujudkah kehendak politik (political will) di pihak Kerajaan negeri untuk mengambilpakai serta melaksanakannya?

5. Mewujudkan tabung ekonomi Bumiputera/Melayu boleh dilihat sebagai salah satu tindakan afirmatif (affirmative action) dalam usaha ke arah memperkasakan ekonomi Bumiputera/Melayu.Ia bukanlah suatu yang rumit dan tak perlu sampai RM 20 juta pun. Cukuplah RM 8 juta setahun! RM 1 juta untuk setiap kawasan Parlimen di Negeri Sembilan.Masalahnya, sepanjang Menteri Besar memegang tampuk pentadbiran negeri ini tidak pernah ada khabar tabung atau usaha sebegini ingin diwujudkan untuk manfaat orang Melayu!

6. Diandaikan RM 1 juta diperuntukkan untuk dana bagi memperkasakan ekonomi Bumiputera/Melayu untuk setiap kawasan Parlimen dan jumlah tersebut dipecah bahagikan kepada pakej pinjaman mikro berjumlah RM 20,000 maka seramai 50 orang usahawan kecil melayu di setiap kawasan parlimen boleh menerima manfaat untuk memulakan perniagaan mahupun untuk mengembang/memajukan perniagaan yang sedia ada.Jika dijamakkan dalam setahun, seramai 400 usahawan kecil bumiputera/Melayu dapat dibantu dan dalam tempoh 5 tahun dianggarkan seramai 2000 usahawan Bumiputra/Melayu dapat dibantu atau diberikan manfaat di Negeri Sembilan. 

7. Dengan cara ini usahawan Melayu/Bumiputera di Negeri Sembilan ini dapat mempertingkatkan daya serta keupayaan untuk menjana serta mempertingkatkan aktiviti ekonomi di Negeri Sembilan. Ini juga adalah selaras dengan saranan Tun Dr Mahathir yang menyarankan agar ekonomi domestik diperkasakan demi untuk melonjakkan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

8. Ini juga selaras dengan pandangan “memberi pancing/jala kepada orang agar dia boleh memancing atau menjala ikan dan menjual ikan untuk pendapatan”. Itu adalah lebih baik dari memberi orang itu makan ikan setiap hari! 

9. Sekarang ini apa sahaja perancangan serta tindakan akan disusuli dengan pertanyaan “Apakah K.P.I nya (Key Performance Index)? Senang sahaja….jika usahawan yang dibantu itu dapat membelikan kereta “MINI COOPER” untuk anaknya kerana berjaya mendapat 5A dalam UPSR, maksudnya perancangan serta tindakan itu telah berjaya! 

10. Oleh itu…Bos! Mintak RM 8 juta setahun untuk orang Melayu di Negeri Sembilan, boleh?

Tuesday, November 12, 2013

Adakah COMANGO suatu bentuk Yahudi dan Nasrani seperti yang dinyatakan dalam kalam Tuhan?


COMANGO atau sebutan panjangnya “ Coalition of Malaysian NGO” baru-baru ini telah menyediakan serta menyerahkan suatu laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) bagi proses semakan berkala sejagat Majlis Hak Asasi Manusia tersebut (UNHRC Universal Periodical Review) Laporan tersebut dimasukkan di dalam Laporan Pemegang Kepentingan (Stakeholder’s Report) bersama dengan laporan dari NGO-NGO lain sama ada dari luar atau dalam Malaysia berkaitan pelbagai isu hak asasi manusia . 

Tujuan laporan tersebut kononnya untuk memberi gambaran kepada UNHRC tentang isu-isu hak asasi manusia dan bagaimana isu-isu tersebut dikendalikan di Malaysia selaku negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN). Apabila Laporan tersebut sampai ke pengetahuan umum ia menjadi kontroversi dan dipertikaikan kerana beberapa sebab iaitu:-

1. COMANGO bukanlah wakil suara NGO-NGO di Malaysia kerana dalam 54 badan NGO yang kononnya bergabung di bawah COMANGO hanya 12 buah badan sahaja yang berdaftar manakala selebihnya tidak berdaftar dan badan-badan yang tidak berdaftar ini di dakwa terdiri dari pihak yang sama sahaja.

2. Isu yang disentuh dalam laporan COMANGO ada yang menyentuh sensitiviti agama dan bertentangan dengan nilai tatasusila rakyat Malaysia antaranya menggesa Malaysia untuk mengiktiraf hak-hak Sexual Orientation and Gender Identity (SOGI) seperti hak Lesbian Bisexual Gay dan Transgender (LBGT) agar amalan orientasi seksual songsang yang di amalkan golongan ini boleh diamalkan secara bebas di Malaysia.Ini termasuk gesaan untuk memansuhkan beberapa kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan undang-undang syariah yang memperuntukkan hukuman ke atas sodomi dan hubungan sesama jenis yang diamalkan atas dasar suka sama suka.

3. Disamping itu Malaysia turut digesa agar menandatangani dua treati hak asasi manusia. Pertama, International Covenant on Civil & Political Right (ICCPR) yang mana ada menyebut tentang kebebasan beragama, memilih agama dan menukar agama termasuk murtad. Kedua, International Covenant at Elimination of all forms of Racial Discrimination (ICERD) yang secara langsung mencabar keistimewaan orang Melayu dan semangat kontrak sosial yang menjadi dasar di Malaysia.

Persoalannya, apa kesan gesaan COMANGO kepada orang Melayu di Malaysia? Pandangan aku pada masa sekarang dan semasa mungkin tidak ada apa-apa tetapi pada masa akan datang iaitu zaman anak-anak kita, ia boleh memberikan kesan porak peranda. Walau apapun tidak dinafikan cetusan-cetusan serta bibit-bibit untuk memporak perandakan ini sudah dapat dilihat dan akan menjadi lebih teruk jika tidak dikekang. 

Bagi aku apa yang digesa oleh COMANGO ini adalah nilai dunia barat yang korup dan budaya liberalisma dalam beragama yang disulam menjadi mauduk serta isu hak asasi manusia. Golongan ini mahu badan dunia seperti PBB untuk mendesak- paksa Malaysia selaku negara anggota PBB untuk menerimanya. Jangan suatu hari nanti ada pemimpin negara ini yang biol menerima gesaan ini maka akan bermulalah porak peranda di negara ini.

Tidak lama dahulu satu negara dikejutkan dengan berita serta gambar dalam anak muda lelaki Melayu yang siap bertanjak berkahwin dan bercium dengan pasangannya seorang lelaki barat di dalam sebuah Gereja diluar negara.Setelah sedikit gembar gembur, peristiwa tersebut terus senyap dan semakin hilang dalam ingatan kita semua. Tergamakkah kita lihat perkara yang sama berlaku di depan mata kita di negara kita sendiri? Ini boleh berlaku jika pengiktirafan yang diminta diberikan. 

Melihat pula isu kebebasan beragama , kebebasan memilih agama dan kebebasan menukar agama seperti yang digesa oleh COMANGO aku teringat kembali ucapan serta ceramah “kawan aku” bekas ahli DAP yang menyatakan tentang perancangan rahsia DAP yang antaranya adalah kebebasan beragama , kebebasan memilih agama dan kebebasan menukar agama sama seperti yang digesa oleh COMANGO. Adakah ini kebetulan atau mereka ini adalah orang yang sama? Menurut “kawan aku” itu matlamat rahsia DAP adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian. Adakah ini juga matlamat COMANGO?

Melalui pembacaan serta penglibatan aku dalam mengikuti ucapan,ceramah serta seminar mengenai kenegaraan, nilai tatasusila dan agama yang menjadi dominan di sesebuah negara adalah nilai tatasusila yang diamalkan dan di anuti oleh majoriti rakyat di negara tersebut. Dalam konteks Malaysia majoritinya adalah Melayu dan seharusnya agama Islam dan nilai tatasusila serta akhlak Islam dan Melayu yang diamalkan. Ini juga di nyatakan dalam tafsiran Melayu dalam Perlembagaan dan periktirafan Perlembagaan bahawa Islam adalah agama negara ini. Adakah gesaan COMANGO atau perancangan rahsia DAP ini bermatlamat mahu menukarkan nilai tatasusila dan agama yang dominan di Malaysia ini?Secara teorinya, jika majoriti rakyat atau orang Melayu menerima nilai tatasusila barat dan amalan liberalisma beragama ini ,adalah tidak mustahil ini akan berlaku. Jika itu berlaku, apakah akan jadi kepada generasi kita orang Melayu? Adakah kita boleh diterima sebagai orang Barat kerana mengamalkan cara dan nilai mereka? Atau menjadi seperti negara Turki semasa pemerintahan Mustafa Kamal ”Atta Turk” yang keterlaluan mahukan bangsa Turki diterima sebagai bangsa Eropah sehingga sanggup menggadaikan agama dan nilai mereka sendiri. Sehingga kini setelah berpuluh tahun mayat “Atta Turk” keras dalam simen dipamerkan kepada khalayak ramai di Turki, negara-negara Eropah masih tidak mengiktiraf Turki dan bangsanya sebagai negara dan bangsa Eropah. Adakah itu yang mahu kita lihat terjadi kepada orang Melayu di masa akan datang?

Sebelum tidur, mari kita buka Al Quran dan lihat Surah Al Baqarah ayat 120 dan mari kita baca renung dan fahami. Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu (Islam) sehingga kamu mengikuti cara mereka. Adakah COMANGO ini bentuk Yahudi dan Nasrani seperti yang dinyatakan dalam kalam Tuhan? 

Kepada sahabat, kawan dan rakan dalam UMNO, aku harap dan doakan kita semua diberikan kekuatan untuk menentang perkara ancaman yang dibawa oleh COMANGO ini!