PAI AYAM UNTUK KAK LONG…


Aku masih lagi ingat ketika kali pertama makan “homemade” pai. Masa itu aku masih lagi menuntut di Kuala Kangsar . Tak salah aku masa itu aku di Tingkatan 3. Masa itu ada cuti umum di hujung minggu jadi hari Isnin berikutnya adalah hari cuti. Nak balik ke Seremban rasanya cuti terlalu singkat. Sahabat aku Farizal pula ajak balik ke rumah dia di Alor Setar . Memandangkan rasa bosan akan terasa jika duduk sahaja di asrama, jadi aku memohon untuk balik kampong. Bukan balik ko Sromban tapi pi Aloq Staq! 

Masa di Alor Setar aku diberitahu bahawa datuk sahabat aku ni adalah bekas Chef di Istana Kedah . Kemahiran datuk sahabat aku ni antaranya adalah buat pai dan pastry untuk santapan DiRaja. Ilmu dan kemahiran datuk sahabat aku ni rupanya diturunkan kepada ibu sahabat aku. Dalam masa singkat di Alor Setar itu sempat juga aku dihidangkan dengan pai Ayam dan pai Daging (home made). Itulah kali pertama aku merasa makan pai dan walaupun aku tidak pernah merasa makan pai sebelum itu tetapi bagi aku hingga kini itulah hidangan pai yang paling sedap pernah aku rasa!

Itu kenangan aku tentang “homemade” pai dan kini seperti situasi aku juga ibu sahabat aku tersebut telah kembali ke rahmatullah. Namun pai allahyarham ibu sahabat aku itu telah meninggalkan kesan dalam diri aku. Masih aku ingat allahyarham ibu sahabat aku pada masa itu adalah seorang ibu tunggal, mempunyai 3 orang anak yang masih belajar. Walaupun dalam kesibukan mengatur-urus kehidupannya , namun apabila anaknya meminta untuk makan pai,tanpa rungutan beliau membuatnya. Sedap plak tu! Tapi aku percaya jika sesuatu masakan dibuat dengan penuh rasa kasih sayang tentu masakan itu akan jadi sedap dan enak walaupun makanan itu ringkas sahaja. 

Kenangan ini mengajar aku tentang kasih ibu kepada anaknya. Ia juga mendorong aku belajar untuk masak pai sebab kenangan kelazatan pai masakan “homemade”. Setelah beberapa kali mencuba , berjaya juga aku buat walaupun mungkin tidak sesedap masakan Allahyarham ibu sahabat aku tu. Sekarang ini anak pertama aku Kak long sedang menghadapi peperiksaan SPM dan selain dari bagi duit dan ziarah dia di asrama aku berkeputusan nak buatkan untuk kak long pai ayam sebagai simbol sokongan moral dan kasih ayah kepada anaknya. Bukan nak ajar sesiapa tetapi aku nak kongsi di sini bagaimana aku buat pai untuk Kak Long.

Pertamanya, isi pai iaitu kentang dipotong dadu (direbus sampai lembut), daging ayam di potong dadu dan bawang besar dipotong dadu.

Keduanya, tumiskan bawang besar tadi, campurkan 2 sudu sos tiram dan gaulkan.Kemudian campurkan ayam dan bawang tadi. Untuk rasanya campurkan sedikit garam ,kicap manis , sos tomato dan sos cili untuk rasa manis masam dan sedikit pedas, Campurkan sedikit air dan tepung jagung . Kacau sampai pekat dengan api yang kecil/sederhana. Bila dah pekat, tutup api maka inti pai dah pun siap! 

                                                        Isi pai di masak dahulu

Ketiga, buat dough untuk pai. Tak payah susah-susah nak menganyam/menguli tepung untuk buat dough. Pergi beli puff pastry dan pastry cups di Tesco. Siapkan puff pastry dalam pastry cups untuk dasar pai. Masukkan sekejap dalam oven untuk 10 minit dengan suhu yang sesuai. Ini supaya puff pastry  di dasar itu tidak mentah bila pai siap dimasak nanti.




Keempat, bila puff pastry dah setengah masak keluarkan dari oven dan masukkan isi pai. Kemudian ambil puff pastry lain dan tutupkan pai tersebut. Buat sedikit “egg wash”(pakai kuning telur dan berus masakan)  atas puff pastry itu untuk naikan warna menarik untuk pai tersebut.


Isikan inti pai dalam pai cups

Tutup pai dengan puff -pastry sheet

"Egg -wash"

Kelima, masukkan pai yang telah di tutup dan telah di “egg wash”tadi dalam oven untuk 30 minit dengan suhu yang sesuai . Tak perlu cucuk lubang atas pai itu sebab saiznya kecil,tetapi jika buat saiz besar cucukkan beberapa lubang untuk isi dan dasarnya masak. Tengokkan dari masa ke semasa . Jika perlu buat “ egg wash” lagi untuk menampilkan rupa menarik untuk pai tersebut.


Ini rupanya bila dah siap!
  
Ini adalah pai versi aku sendiri. Mungkin tidak sesedap seperti masakan Allahyarham ibu sahabat aku itu tetapi bolehlah ditelan. Apa yang perlu adalah dibuat dengan penuh rasa kasih sayang dan Insya Allah sedaplah pai itu. Untuk Kak Long, inilah pai dari ayah untuk Kak long….

Comments

  1. Cayalah Mok! Air tangan bapa atau ibu yg memasak utk anak2 dia tu yg penting... tak kesah rupa atau rasa mcmana, pasti akan sedap!

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Tugu Peringatan Sg Lui?

KETUANAN MELAYU DI NEGARA INI HENDAK DITAMATKAN?

Masjid Kg Ulu, Melaka Tengah,Melaka 1728: Aku pernah berucap di dalamnya!