BENGANG! BENGANG! BANGANG!


Pagi tadi semasa aku singgah di Stesen Petronas untuk mengisi minyak kereta, aku terpandang tajuk utama akhbar The Star di rak akhbar di depan kaunter pembayaran. Bunyi tajuknya amat menarik “Painful but necessary”. Lantas aku beli senaskah dan aku letakkan di kerusi penumpang dan menyimpan hasrat untuk membacanya kemudian.

Semasa aku berkesempatan untuk minum pagi aku bawa naskah akhbar the Star bersama. Nescafe tarik satu! Kurang manis! Mamak yang ambil pesanan tu nampaknya faham walaupun kulihat dia menggeleng-goyang kepala dia. Aku mintak untuk kurang manis sempena menyahut seruan Kerajaan untuk mengurangkan ambilan gula. Nescafe tarik yang ku pesan dah dihantar.Sambil aku minam nescafe tarik yang lemak,sedikit pahit dan manis bercampur itu aku tarik akhbar the Star tadi dan terus menatapnya.

Dibawah tajuk “Painful but necessary” aku teruskan bacaanku. Bacaan aku bersambung ke muka 2 dan 3 akhbar tersebut. Selesai membaca aku menghela nafas panjang. Tariff elektrik nak di naikkan bermula 1 Januari 2014 dari kadar tariff 33.54 sen untuk 1 kilowatt sejam kepada 38.53 sen,mencatatkan kenaikan sebanyak 4.99 sen. Nampak macam kenaikan kecil. Namun jika sebuah rumah teres dengan 2 biji pendingin hawa mempunyai purata pengunaan 500 kwh sebulan, sebelum kenaikan, bil elektriknya adalah RM 167.70 sebulan tetapi setelah kenaikan bil elektriknya adalah RM 192.65 sebulan.Maksudnya individu perlu membayar RM 24.95 lebih dari lazimnya sebulan. Itu juga bermakna individu tersebut akan membayar RM 299.40 lebih dari lazimnya setahun!Banyak benda boleh dibeli dengan RM 299.40 itu,apatah lagi sesi baru persekolahan tahun depan kian menjelang!

Datuk Dr Maximus Ongkili dipetik berkata kenaikan tidak dapat dielakkan antaranya kerana faktor kenaikan harga gas dan arang batu yang menjadi bahan dalam penjanaan elektrik. Arang batu diimpot tetapi gas dibeli dari PETRONAS. Pihak Kerajaan tidak akan membiayai atau mensubsidi kos kenaikan bahan tersebut oleh itu kos lebihan akan dilepas-tanggungkan kepada rakyat dalam bentuk kenaikan kadar tariff yang katanya berpatutan.

Menurutnya lagi dengan tidak membiayai atau mensubsidi kenaikan kos tersebut Kerajaan akan mempunyai kedudukan fiscal (kewangan) yang lebih kukuh untuk membelanjakan wang bagi pembinaan prasarana untuk manfaat rakyat.

Aku akui aku penyokong tegar Kerajaan namun pada masa yang sama aku hanya rakyat biasa sama seperti Akak Khairani dan Kak Zila di cawangan aku. Menteri itu kata 70% dari rakyat negara ini tidak akan terkesan akibat kenaikan ini.Geram betul aku! Apa dia ingat rakyat negara ini majoritinya pakai elektrik hanya RM 77.00 sebulan aje ke? Tak tahu ke dia tentang kesan Domino? Naik harga minyak naiklah harga barang/perkhidmatan.Naik harga elektrik naiklah harga nescafe tarik dan roti canai!Ini diakui oleh pakar ekonomi dan Gabenor Bank Negara sendiri bahawa dengan kenaikan tariff elektrik akan menaikkan kadar inflasi. Walau katanya tidak lebih dari 3% dan tidak membimbangkan tapi dia adalah Gabenor Bank Negara dan gajinya ribu-ribu. Aku hanya rakyat biasa dan rakyat biasa yang akan merasa bahang kenaikan kadar inflasi ini. Orang kaya raya dan orang yang nak korporatkan UMNO mungkin langsung tak terasa bahang ini!

Tiba-tiba kedengaran nada dering telefon bimbit seorang adik yang tengah makan mee hun goreng di sebelah meja aku yang memainkan lagu “Kalau aku Kaya” nyanyian penyanyi Awie Rafael feat Altimet. Lagi bengang otak aku jadinya!Dalam kebengangan itu aku terus menyelak muka akhbar the Star itu, tup-tup sampai muka surat 16 hati aku terus jadi terbakar! Pertama, bila terbaca kos pembinaan Lebuhraya yang terlebih dari bajet sebanyak RM 800 juta . Keduanya , 2 projek mega Kerajaan yang perlu RM 22.8 juta lagi untuk disiapkan. Ini  di petik dari laporan rasmi JuruOdit Negara 2012. Bagi 3 projek ini sahaja Kerajaan perlu mengeluarkan lagi belanja tambahan sebanyak RM RM822.8 juta. Puncanya adalah kelemahan JKR dan syarikat-syarikat yang dilantik JKR untuk projek-projek tersebut! Adakah ke sini wang subsidi Kerajaan tadi nak di salurkan? Bengang! Bengang! Bangang!


Berbalik kepada hal kenaikan tariff elektrik aku yakin dan percaya rakyat akan menyalahkan UMNO kerana Presidennya adalah Perdana Menteri Kerajaan Barisan Nasional. Dalam kesibukan mengatur urus Perhimpunan Agung UMNO di PWTC rakyat kebanyakan semakin berang kerana dasar Kerajaan yang menyerang poket rakyat dan orang ramai. Kita acapkali melaungkan agar UMNO menjadi JUARA RAKYAT dan seperti baru-baru ini Timbalan Menteri berketurunan Banjar menyebut MEMBARA singkatan bagi slogan MEMBANTU RAKYAT! Adakah dengan cara ini kita mahu jadi JUARA MEMBARA? Takut nanti kita cuma jadi JUARA MEMBARAkan hati dan perasaan rakyat!

Pandangan aku TNB dan PETRONAS adalah syarikat berkaitan kerajaan. Tidak adakah jalan terbaik yang boleh difikirkan Kerajaan bersama syarikat-syarikat ini untuk mengemukakan dasar yang membantu serta memanfaatkan rakyat? Jika UPP atau pembekal tenaga buat onar jual elektrik kepada TNB dengan harga yang mahal MAKA tindakan sewajarnya perlu diambil. Jangan hanya pandai nak merasional kenaikan harga kepada rakyat bila gaji/pendapatan orang yang berkata demikian berskala puluhan ribu. AMBIL TINDAKAN bukan hanya bercakap!

Comments

  1. So what options do mere peasants like us have Boss? We are neither the rich corporate people nor the overpaid civil servants. Me think we should make the leadership earned our votes so they won't take us for granted. Loyalty to the country, always. Loyalty to party only when they deserved it. Enough said!

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Tugu Peringatan Sg Lui?

KETUANAN MELAYU DI NEGARA INI HENDAK DITAMATKAN?

KENAPA ANGKUH SANGAT YB?