Antara harapan ayah bonda dan kepentingan politik

1. Semalam, Mahkamah Rayuan telah memutuskan serta mengisytiharkan bahawa Seksyen 15 Akta Universti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sebagai tidak sah dan melanggarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah Rayuan memutuskan sedemikian setelah mendengar rayuan 4 orang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mencabar keputusan Lembaga Disiplin Pelajar yang mengenakan hukuman disiplin keatas mereka. Hukuman disiplin ini dikenakan kerana pelajar-pelajar ini ditahan oleh pihak polis kerana disyaki terlibat dalam kempen Pilihanraya Kecil Hulu Selangor lalu.

2. Mahkamah Rayuan yang bersidang dengan 3 orang Hakim Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan majoriti 2-1 di mana Yang Amat Arif Hakim (YAA) Datuk Wira Low Hop Bing tidak bersetuju dengan keputusan dengan YAA Hakim yang lain. Rayuan tersebut turut didengar oleh YAA Mohd Hishamudin dan YAA Datuk Linton Albert.

3. YAA Mohd Hishamudin dalam keputusannya mengatakan bahawa Seksyen 15 AUKU tidak munasabah kerana ia menyekat kebebasan bersuara mahasiswa. YAA Datuk Linton bersetuju dan menambah bahawa Seksyen tersebut melarang pembabitan mahasiswa dalam politik sedangkan ia adalah aspek yang penting dalam demokrasi. Justeru itu, Seksyen tersebut tidak wajar dikategorikan sebagai munasabah. Walaubagaimanapun YAA Datuk Wira Low Hop Bing pula mengatakan sekatan melalui Seksyen tersebut adalah sah kerana ia termasuk di bawah skop Perkara 10 (1) (a) dan Perkara 10(2) (a) Perlembagaan Persekutuan. Tambahnya lagi, sekatan sedemikian adalah penting bagi menyekat penerapan idelogi politik termasuk yang bersifat melampau di kalangan mahasiswa yang mudah terpengaruh.

4. Bagi kelompok pengamal undang-undang, ini adalah suatu kes tumpuan (landmark case) kerana ia melibatkan persoalan tentang hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan. Sejak AUKU diluluskan pada tahun 1971, hanya pada tahun 2011 suatu bahagian darinya (iaitu Seksyen 15) diisytiharkan tidak sah kerana melanggar peruntukan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Walaubagaimanapun pihak UKM dan Kerajaan masih boleh merayu kes ini ke Mahkamah Persekutuan.

5. Apakah kandungan Seksyen yang di anggap menyekat kebebasan bersuara mahasiswa ini? Seksyen 15 antara lain menyatakan bahawa mahasiswa dilarang untuk menjadi mana-mana ahli persatuan, parti politik, kesatuan sekerja,pertubuhan atau badan kecuali seperti yang dibenarkan oleh Perlembagaan Universiti atau kecuali seperti yang diluluskan oleh Naib Canselor.(untuk versi penuh-baca di sini).Mengikut undang-undang, Perlembagaan mengiktirafkan hak individu untuk bersuara melalui platform persatuan/parti politik dan sebagainya. Kesan dari keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, (jika tidak diketepikan oleh keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan) mahasiswa kini boleh menganggotai mana-mana parti politik /persatuan/kesatuan sekerja/pertubuhan atau mana-mana badan tanpa sekatan. Ini termasuk menjawat apa-apa jawatan dalam persatuan/parti/badan tersebut dan juga boleh menjalankan aktiviti persatuan/parti/badan tersebut seperti berkempen untuk mempromosikan atau melebarkan pengaruh, di dalam dan di luar universiti.

6. Jika keputusan Mahkamah Rayuan ini kekal, tidak hairan jika kita semua dapat melihat semula perhimpunan dan demonstrasi pelajar seperti tahun 60’an dahulu yang melaungkan tentang kemiskinan di Baling, Kedah walhal perkara tersebut langsung tidak benar. Kemungkinan bahawa pelajar/mahasiswa dipergunakan oleh golongan tertentu untuk sesuatu kepentingan akan berlaku semula. Kerajaan memperkenalkan AUKU pada 1971 antara lain adalah untuk membendung perkara sebegini berlaku kerana kepentingan pelajar yang utama adalah untuk mendapat pendidikan dan bukannya untuk terjebak ke kancah politik atau permainan politik pihak tertentu.

7. Mahasiswa adalah golongan “stakeholder”di mana ramai pihak yang meletakkan harapan ke atas mereka. Pertama, ibu dan bapa mereka yang mengharapkan anak mereka mendapat pendidikan dan kejayaan dan akan berupaya untuk membantu dan menaikkan taraf kesejahteraan diri mereka sendiri dan keluarga. Kedua, Pihak Penaja seperti MARA, JPA dan sebagainya berharap mereka ini mendapat pendidikan yang baik dan apabila keluar dari Universiti kelak akan memberikan tenaga dan khidmat yang berkemahiran kepada ejensi tersebut bahkan kepada Negara. Ketiga, masyarakat juga berharap agar mahasiswa sekarang ini kelak dapat memberikan sumbangan intelek dan kemahiran dalam meningkatkan kesejahteraan semua. Begitu juga pihak Kerajaan yang mahukan golongan generasi yang mempunyai modal insan yang terbaik yang boleh dan berupaya memimpin Negara di masa akan datang. Aku yakin dan percaya tidak ada sama sekali gambaran dalam harapan pihak – pihak ini, agar golongan mahasiswa ini menjadi ahli politik atau aktivis politik semasa mereka masih menuntut di Universiti!

8. Sesiapa yang terlibat dalam politik sedar bahawa kerja-kerja politik ini bukan mengikut masa pejabat atau mengikut had waktu tertentu. Kadangkala lewat sehingga dinihari barulah balik ke rumah. Kalau mahasiswa kita menjadi begini, bila agaknya masa untuk pergi ke kuliah? Bila masanya nak siapkan tugasan atau kerja kursus. Bila pula nak ke perpustakaan dan bila pula mahu menelaah nota kuliah? Walaupun kita boleh kata kita mampu mengurus masa tapi hakikatnya akan berlaku perkara-perkara seperti ponteng (tuang) kuliah,tugasan atau kerja kursus lambat di hantar, mengundang tabiat meniru tugasan pelajar lain,tidak membuat persiapan untuk ujian atau peperiksaan dan terpaksa mengulangi kertas yang sama (kerana disekat untuk menghadiri peperiksaan kertas tersebut kerana tidak hadir kuliah atau gagal kertas tersebut) dan mendapat CGPA (Cumulative Grade Point Average) yang rendah.Adakah ini yang kita mahukan terjadi kepada mahasiswa kita? Untuk rekod, salah seorang pemimpin Pembangkang kini yang dahulunya merupakan pemimpin pelajar yang aktif tahun 60'an dahulu hanya menamatkan pengajiannya dengan Ijazah Am (General Degree) Pengajian Melayu di University Malaya. Adakah contoh sebegini kita mahu terjadi kepada mahasiswa kita?

9. Apa yang lebih menakutkan jika ada golongan tertentu akan memanipulasi golongan mahasiswa ini. Lebih-lebih lagi mahasiswa Melayu. Pernah beberapa kali dilihat dalam pilihanraya-pilihanraya kecil dapat dilihat ada pihak yang menggunakan mahasiswa untuk merayu undi. Hairannya , semuanya adalah mahasiswa Melayu. Terbaharu, demonstrasi pelajar di UIA kerana penggantungan kerja Professor Aziz Bari, majoritinya pelajar Melayu. Amat jarang dapat dilihat mahasiswa Cina atau India menyertai kempen mahupun demonstrasi. Dalam kes Mahkamah Rayuan seperti di atas semua pelajar yang terbabit adalah Melayu.Persoalannya kenapa? Adakah persoalan ini akan terjawab apabila kita lihat statistik pencapaian akademik mengikut kaum dan kita mendapati kedudukan mahasiswa Cina dan India di atas manakala kedudukan mahasiswa Melayu pula di bawah?


Demonstrasi di UIA

10. Aku tahu pada masa yang sama daya intelek mahasiswa mesti dihargai dan seharusnya bersifat dinamik. Aku percaya bahawa daya intelek, suara serta buah fikiran mahasiswa boleh di zahirkan melalui forum yang sesuai seperti seminar, majlis dialog, perjumpaan dan seumpamanya.Sekarang ini pun di university pun dah dibenarkan menganjur sudut pidato (speaker’s corner) .Kaji dan semak apa sahaja isu secara ilmiah dan secara bernas dan rasional dan suarakanlah pandangan. Aku rasa ini lebih sesuai dan lebih menzahirkan keupayaan intelektual dan integriti seorang yang bergelar mahasiswa. Ia lebih baik dari menjadi “balachi” politik golongan tertentu jika mahasiswa ini terlibat dengan politik secara terbuka.

11. Semua mahasiswa perlu tanya matlamat diri mereka sendiri dan sebagai “stakeholder kepada pihak-pihak yang menaruh harapan ke atas mereka.Antara harapan ayah dan bonda dan kepentingan politik manakah paling afdal? Fikir-fikirkanlah!

Pada masa yang sama aku juga menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan dengan penuh minat!

Comments

  1. Sukar untuk saya menerima pependapat YAA Datuk Wira Low Hop Bing yang berpandangan sekatan sedemikian adalah penting bagi menyekat penerapan idelogi politik termasuk yang bersifat melampau di kalangan `mahasiswa yang mudah terpengaruh’. Pada pandangan saya, pakcik dan makcik yang saban harinya menonton TV3 dan membaca Utusan Malaysia mungkin lebih mudah dimomokkan dengan seribu satu konspirasi.
    Hmmm... iya laa kalau nak tunggu kelulusan `green light' penyertaan yang diluluskan oleh Naib Canselor, itu pastinya kena mengikut bias politik Naib Canselor. Siapa yang menentukan duduk bangunnya seseorang NC ? Minda mahasiswa di alaf millineum ini pastinya telah jauh lebih matang dari minda siswa tahun 70an. Susun atur yang hampir setengah abad dahulu, sewajarnya dipertimbangkan semula mengikut peredaran zaman. Kalau melihat dari sudut pengharapan ibubapa dan masyarakat, sememangnya mahasiswa ini disuruhnya menumpukan sepenuh perhatian kepada pembelajaran, jangan sesekali nak berpolitik, jangan nak bercinta, jangan nak berbusiness etc... wajarkah mahasiswa dikongkong seperti budak sekolah belum akil baligh, walaupun dah berjanggut bermisai? Dalam situasi sedemikian, apa pula signifikannya Kelab UMNO untuk mahasiswa di United Kingdom?
    MARA, JPA dan sebagainya sememangnya menaja mahasiswa dengan mengunakan duit rakyat, pengharapan mestilah mengambil kira pengharapan rakyat bukan setakat yang diharapkan mengikut selera seseorang Ketua Pengarah atau Pak Menteri. Mercu kejayaan dan tahap sumbangan kepada Negara juga begitu subjektif untuk diukur dari sudut sebesar ijazah Honors Degree atau PhD yang dihamparkan, mungkin nilai keperibadian BERSIH CEKAP AMANAH modal insan itu sendiri yang perlu dititik beratkan untuk memimpin Negara di masa akan datang.
    Saya tidak hairannya jika demonstrasi pelajar di UIA disertai oleh majoritinya mahasiswa Melayu. Siapa lagi yang hendak bangkit membela orang Melayu dan pastinya majoriti mahasiswa tempatan dari kaum Cina dan India tidak berpeluang untuk melanjutkan pengajian di UIA.

    ReplyDelete
  2. Persoalannya adakah peranan sebagai Stakeholder hanya boleh dikatakan kongkongan kepada pelajar? Kenapa ntidak lihat dari perspektif tanggungjawab dan amanah? Dalam proses meningkat dewasa mahasiswa juga perlu faham tentang tanggungjawab.Untuk makluman UIA juga menerima ramai pelajar bukan Islam.Di mana mereka?

    ReplyDelete
  3. http://www.agendadaily.com/Muka-Hadapan/sendiri-mau-ingat-bila-sultan-selangor-tak-berkenan-orang-politik-masuk-unisel.html

    SELASA, 09 OGOS 2011 00:12
    ... Sultan Selangor bertitah lagi, kali ini mengingatkan pihak-pihak berkenaan supaya politik kepartian tidak dicampuradukkan dalam pengajaran di Universiti Selangor (UNISEL) demi masa depan pelajar institusi itu.

    Para profesor dan pensyarah perlu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada tugas-tugas mereka untuk mengajar dan berhenti daripada berpolitik di kampus kerana ia boleh menjejaskan masa depan pelajar, titah baginda ketika merasmikan Masjid UNISEL Kampus Bestari Jaya Kuala Selangor.

    Menurut Baginda amat merugikan sekiranya seseorang pelajar itu membuang masa untuk berpolitik dan tidak menumpukan sepenuh perhatian terhadap akademik.

    "Beta tidak berkenan orang-orang politik atau orang luar yang tidak ada kena mengena dengan universiti ini dijemput memberi ceramah politik atau syarahan politik di dalam kawasan Universiti Selangor.

    "Universiti ini adalah tempat untuk belajar, berbincang, dan mengembangkan idea mengenai ilmu serta membuat penyelidikan dan eksperimen tentang sesuatu projek atau penemuan yang boleh menaikkan lagi taraf industri di negeri ini, titah Baginda.

    Sultan Sharafuddin juga bertitah baginda telah menerima pengaduan daripada ibu bapa yang prihatin mengenai isu berpolitik di UNISEL dan jika ini berterusan, kemungkinan besar ada ibu bapa yang tidak akan menghantar anak-anak mereka untuk melanjutkan pelajaran mereka di universiti ini.
    -------
    Kerajaan Jangan Tak Buat Rayuan. Tunggu dulu, apa pula kata Mahkamah Persekutuan.

    Apakah berpuak-puak dan berpecah belah dalam kampus kerana fahaman politik suatu yang dikehendaki dan baik di IPTA sebagai tempat pengajian? Apa relevannya parti politik dikampus dan apa hak mereka untuk mencampuri urusan dan dasar IPTA? Maka Mahkamah Rayuan perlu nampak dan jangan pura-pura tidak nampak bahawa kekangan pada auku adalah untuk menghilangkan benih yang akan menjejaskan kententeraman awam (pubic order) di sesebuah IPTA agar falsafahnya sebagai tempat pengajian dihormati. Pun begitu, politik (seperti sukan etc)sebagai sebuah kurikulum (matapelajaran) dengan buku dan artikel rujukan digalakkan.

    Pendidikan haruslah bedasarkan pemikiran secara disiplin (seperti thesis) bukannya pemikiran yang tanpa disiplin dan haru biru. Mungkin pemikiran "haru biru dan kurang disiplin" adalah lumrah bagi orang politikus namun pendidikan dan dasar pengajian, pemikiran itu hendaklah berstruktur dan berdisiplin.

    Kalau jaguh berfikiran, buatlah artikel dan thesis dengan metolodoginya dan sebagainya.

    Tanggapan bahawa berpolitik boleh merangsangkan pemikiran berdisiplin itu suatu tanggapan yang terpesong. Pendidikan itu pemikiran berdisiplin harus difahami bukan pemikiran beremosi dan popular.

    AUKU tidak sedikitpun menghalang sesiapa yang berkelayakan mengundi. Siapa yang tidak mahu kebebasan. Tetapi kebebasan tanpa peraturan akhirnya!!! perhimpunan seperti seksualiti Merdeka apakah itu kebebasan??

    ReplyDelete
  4. Joslay mj..ayat kau.memang lawa.kau betulkan diri kau,bini kau terdedah aurat sosial melayan jantan2 kilang & anak2 kau dulu sebelum sibuk menyalak bagai hanjingn kurap kutuk kondam kerajaan.anak2 kau sekolah pun kerajaan yang
    tanggung bro.
    Muhasabah diri tu bro.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Tugu Peringatan Sg Lui?

PERLU KE IKTIRAF UEC?

Masjid Kg Ulu, Melaka Tengah,Melaka 1728: Aku pernah berucap di dalamnya!