MENABUNG UNTUK SELESAIKAN HUTANG?



Pada 30-5-2018 lalu, suatu tabung telah di wujudkan oleh Kerajaan Malaysia Baru bagi membantu Kerajaan Malaysia Baru untuk menyelesaikan hutang negara. Menurut Menteri Kewangan yang bijaksana hutang negara kini mencecah RM 1 trillion. Tabung ini diberi nama Tabung Harapan dan ia dikelolakan oleh Menteri Kewangan. Kewujudan tabung ini berinspirasikan iniatif seorang graduan undang-undang,Shazarina Bakti yang memulakan pengumpulan wang dengan tujuan untuk membantu negara bagi menyelesaikan hutang.

Menteri Kewangan yang bijaksana memuji inisiatif wanita muda ini dan menyatakan ia adalah suatu tindakan yang terpuji dan amat patriotik kepada negara. Sumbangan ke tabung ini adalah secara sukarela dan tidak dipaksa.

Sejak ia dilancarkan, tabung ini telah mengumpul lebih RM100 juta hasil sumbangan orang persendirian, pertubuhan dan dari syarikat konglomerat apatah lagi apabila turut diumumkan setiap sumbangan adalah layak untuk pengecualian cukai. Di Negeri Sembilan setakat ini, syarikat pemaju Matrix Concept yang banyak menerima peluang perniagaan di bawah kerajaan negeri sebelum ini merupakan penyumbang terbesar dengan sumbangan sebanyak RM 5 juta (RM 3 juta dan kemudiannya RM2 juta) ke tabung ini. Mungkin ini adalah simbol patriotisma ditunjukkan oleh syarikat tersebut yang sebelum ini banyak menimba untung dari kerajaan negeri.



Sumbangan Tabung Harapan dari Matrix Concept Holdings Bhd


Ada juga pihak yang menyamakan tindakan ini dengan tindakan rakyat Korea Selatan yang telah menyumbang emas dan barang kemas milik mereka bagi menyelamatkan negara mereka pada tahun 1998.Tindakan rakyat Korea Selatan ini berjaya membantu kerajaan Korea Selatan membayar hutang tersebut kepada Dana Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund).

Namun ada perbezaannya situasi di Korea Selatan pada masa itu dan situasi Malaysia pada hari ini. Dalam situasi Korea Selatan, sewaktu krisis ekonomi tahun 1997, kerajaan Korea membuat seruan kepada rakyat untuk meyumbang barangan kemas dan emas milikan mereka demi menyelamatkan negara tersebut dari belenggu dan cengkaman IMF.Berbalik ke situasi Malaysia pada hari ini, dari cengkaman siapa negara ini perlu diselamatkan?

Menteri Kewangan yang bijaksana mengumumkan hutang negara ini terlalu tinggi kerana mencecah RM1trillion.Beliau juga mendakwa kepimpinan kerajaan terdahulu telah menyembunyikan hutang sebenar negara.Beliau menjelaskan bahawa hutang tersebut terdiri dari hutang rasmi sebanyak RM686.8 billion (50.8% dari Keluaran Kasar Negara), jaminan kerajaan RM199.1 billion (14.6% dari Keluaran Kasar Negara ) dan bayaran sewaan dibawah sektor awam-swasta RM201.4 billion (14.9% dari Keluaran Kasar Negara).

Namun ada pertikaian dari ahli ekonomi yang mengatakan hutang yang terakru dan sewajibnya dibayar oleh kerajaan adalah hutang rasmi iaitu RM 686.8 billion manakala jaminan kerajaan kepada pinjaman oleh syarikat berkaitan kerajaan dan bayaran sewaan di bawah sektor awam-swasta adalah suatu tanggungan kontingen (contingent liabilities) atau di masa hadapan dan boleh disemak semula, dirasionalisasikan dan distruktur semula. Oleh itu mengapa tanggungan kontingen itu dijamakkan bersama hutang rasmi sehingga menjadikan hutang negara mencecah 80.3% dari Keluaran Kasar Negara? Pihak Kerajaan Malaysia Baru ini nampaknya mempunyai cara yang aneh untuk membentangkan perkara kepada rakyat. Terbaru, Menteri Hal Ehwal Ekonomi menyatakan dalam Parlimen,kos untuk projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (High Speed Railway) mencecah RM 110 bilion sedangkan fakta menunjukkan tender antarabangsa untuk pembinaannya masih belum ditutup. Selagi tender tersebut belum ditutup, adalah mustahil untuk mengetahui kos pembinaan HSR ini secara muktamad. Bukankah ini suatu cara yang aneh?

Situasi di Malaysia ini, tiada cengkaman dari mana-mana pihak yang negara ini perlu diselamatkan,cuma cara pentadbiran yang aneh telah diamalkan oleh Kerajaan Malaysia Baru yang membuatkan fikiran segelintir rakyat terpesong.

Rakyat sebenarnya telah melaksanakan tanggungjawab mereka, keluar mengundi dan memberikan mandat kepada Kerajaan Malaysia Baru untuk memerintah negara sebaiknya.Cukup setahun, rakyat akan membayar cukai seperti biasa. Mengapa Kerajaan Malaysia Baru ini mewujudkan kempen agar rakyat turut sama membayar hutang negara, sedangkan itu adalah tanggungjawab hakiki kerajaan yang memerintah? Menteri Kewangan yang bijaksana juga sendiri tidak yakin tabung ini dapat membantu dalam menyelesaikan hutang negara. Dalam sidang bersama media baru-baru ini, beliau dipetik berkata walau RM1juta disumbangkan sehari, ia akan mengambil masa selama 2000 tahun untuk menyelesaikan hutang negara! Oleh itu mengapa biarkan fikiran rakyat terbelenggu dengan idea yang sia-sia?

Atau adakah ini salah satu strategi oleh kerajaan baru untuk menyatakan kepada rakyat, mereka mempunyai alasan yang kuat untuk menangguhkan janji manifesto sewaktu pilihanraya dahulu? Usaha untuk melunaskan janji 100 hari dan janji lain dalam Buku Harapan memerlukan dasar fiskal yang utuh bagi membawa hasil kepada kerajaan. Namun kerajaan baru ini memilih untuk mengambil tindakan populis seperti memansuhkan cukai GST dan menggantikannya dengan SST yang bakal mewujudkan kekurangan RM 20 bilion dari segi hasil kepada negara.Ketiadaan dasar fiskal yang utuh akan membawa kegagalan untuk melunaskan janji yang dilaungkan kepada rakyat sewaktu kempen PRU-14 yang lalu.

Teladan yang baik harus ditunjukkan, menabung untuk kesenangan di masa hadapan bukannya menabung untuk selesaikan hutang. Fikir-fikirkanlah!







Comments

Popular posts from this blog

Tugu Peringatan Sg Lui?

PERLU KE IKTIRAF UEC?

Masjid Kg Ulu, Melaka Tengah,Melaka 1728: Aku pernah berucap di dalamnya!