KERISAUAN ALLAHYARHAM DATO' ONN JADI KENYATAAN

Sebagai muqadimah, biarlah catatan kali ini dimulakan dengan mengimbasi lipatan sejarah iaitu kemelut sewaktu Allahyarham Dato’ Onn Jaafar menuntut kemerdekaan tanahair. Antara tuntutan atau syarat yang dikenakan oleh pihak British adalah tentang pemberian status kewarnegaraan kepada orang bukan Melayu iaitu orang Cina dan India atas prinsip Jus Soli.

Menurut hujah Allahyarham Dato’ Onn Jaafar, syarat British itu akan menjadikan orang Cina sebagai penduduk majoriti di Tanah Melayu kerana pada masa itu orang Cina ramai bertumpu di Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) dan bandar-bandar di negeri pantai barat seperti Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban dan Johor Bharu berbanding dengan kaum Cina yang duduk di negeri lain. Allahyarham Dato’ Onn menggelarkan jajaran negeri-negeri tersebut ( Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Singapura) sebagai “Jajaran Cina” atau dalam bahasa Inggerisnya “The Chinese Belt”.

Kerisauan Allahyarham Dato’ Onn Jaafar tersebut berkisar kepada isu jika kaum Cina diberikan taraf kewarganegaraan di negeri-negeri dalam jajaran tersebut, berdasarkan jumlah kepala, Melayu akan menjadi kaum minoriti dan beliau khuatir Melayu akan ketinggalan dari aspek pembangunan sosio ekonomi di tanah sendiri.

Keputusan Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 dan terbaru PRU ke-14 secara tidak langsung membuktikan kerisauan berusia lebih setengah abad tersebut boleh bertukar menjadi realiti. Pilihanraya Umum ke 13 melihat kejatuhan negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Selangor , Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke tangan pembangkang, Manakala negeri-negeri seperti Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, BN tidak memegang kuasa majority 2/3 (atau di gelar sebagai negeri-negeri marginal). Pilihanraya ke-14 pula menyaksikan pembangkang mengekalkan penguasaan di Pulau Pinang, Selangor , Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan berjaya menawan negeri-negeri seperti Perak,Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Dari segi politik (kecuali Pulau Pinang) walaupun Menteri Besar atau Ketua Menterinya adalah orang Melayu (kerana tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan negeri-negeri), namun orang Cina melalui DAP mempunyai pengaruh yang besar serta kata pemutus dalam pentadbiran negeri-negeri tersebut kerana jumlah kerusi DUN yang disandang oleh DAP. 

Kini lengkaplah suatu Jajaran Cina di Semenanjung,bukan hanya dari segi jumlah penduduk seperti yang dimaksudkan oleh Allahyarham Dato’ Onn Jaafar, malah mereka juga mendapat kuasa politik di semua negeri dalam jajaran tersebut.


Apa maknanya  negeri-negeri dalam jajaran tersebut pentadbirannya secara "de facto"nya dikuasai oleh DAP? Adakah kedudukan orang Melayu di negeri-negeri tersebut akan terus terjamin dari segi politik dan sosioekonomi?

Dari sudut politik, bolehkah sesuatu dasar Kerajaan Negeri dilaksanakan tanpa sokongan dan persetujuan wakil rakyat dari DAP? Jika suatu dasar dan peruntukan kewangan di perlukan untuk pembangunan dan pengembangan agama Islam di negeri-negeri terbabit, adakah ia boleh dilaksanakan jika tidak mendapat sokongan dan persetujuan wakil rakyat dari DAP? Jika suatu dasar dan peruntukan kewangan diperlukan untuk pembangunan khusus orang Melayu , adakah ia boleh dilaksanakan jika tidak mendapat sokongan dan persetujuan wakil rakyat dari DAP? Bolehkah secara realitinya, keperluan sokongan dan persetujuan dari wakil DAP ini di atasi hanya kerana wujudnya peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia bahawa Agama Islam adalah agama Persekutuan di bawah Artikel 3 dan Keistimewaan Orang Melayu di bawah Artikel 153?

Natijah dari penguasaan ini isu masyarakat Melayu Pulau Pinang di singkirkan dari bandar tidak ada kesudahannya. Pulau Pinang telah menolak semangat DEB. Azan di Pulau Pinang pernah diarahkan jangan dilaungkan menggunakan pembesar suara dan perarakan Maulidur Rasul dihentikan. Selangor pula pernah hangat dengan projek Khinzir Raksasa dan isu araknya.Terbaru, usul untuk memartabatkan Mahkamah Syariah ditolak di sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.Mungkinkah selepas ini banyak lagi dasar kerajaan di negeri-negeri ini yang tidak meyebelahi orang Melayu atau bakal menyentuh sensitiviti orang Melayu,di negeri-negeri tersebut?

Kerisauan Allahyarham Dato’ Onn Jaafar tentang The Chinese Belt telah menjadi kenyataan. Malah gerakan menguasai negeri-negeri pantai barat Semenanjung  melalui konsep  The Chinese Belt ini telah pun berjaya dilakukan meskipun secara proksi. Amat menyedihkan apabila orang Melayu sendiri yang membantu dalam pencapaian matlamat konsep ini. Adakah orang Melayu sedar akan perkara ini, kesan akibatnya dan untung rugi nasib orang Melayu di bawah konsep penguasaan ini atau dengan sengaja mengabaikannya?
Fikir-fikirkanlah!


Comments

Popular posts from this blog

Tugu Peringatan Sg Lui?

PERLU KE IKTIRAF UEC?

Masjid Kg Ulu, Melaka Tengah,Melaka 1728: Aku pernah berucap di dalamnya!