Cuba tidur sebantal, namun mimpinya lain-lain

1. Kebelakangan ini timbul semula isu pasal undang-undang hudud. Dalam suratkhabar dan juga dalam media alternatif mula memaparkan semula pandangan-pandangan pemimpin perdana mahupun pemimpin Kerajaan tentang isu hukum hudud ini.

2. Seingat aku, perkara ini timbul semula apabila baru-baru ini Tun Mahathir mencabar Kerajaan PAS Kelantan untuk menggubal serta melaksanakan hukum Hudud. Kerajaan PAS telah mengambil semula pentadbiran negeri Kelantan pada pilihanraya Umum yang ke 9 iaitu pada Pilihanraya tahun 1995. Setelah 15 tahun memerintah, satu hukum hudud tidak pernah digubal oleh kerajaan pimpinan Tok guru Nik Aziz ini.

3. Tok guru Nik Aziz dengan pantas menyatakan bahawa PAS tetap akan menggubal dan melaksanakan hukum hudud. Kenyataan ini telah membawa reaksi dari pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain. Karpal Singh mengatakan hukum hudud tidak boleh dilaksanakan kerana ianya akan berlawanan dengan peruntukan Perlembagaan. Lim Guan Eng juga turut menyatakan ia tidak termaktub dalam deklarasi bersama Pakatan Rakyat yang dimuatkan dalam buku Jingga yang dilancarkan. Jelas kenyataan Nik Aziz ini mendapat tentangan dari pemimpin-pemimpin DAP.

4. Dalam buku Jingga yang memuatkan manifesto Pakatan Rakyat kesemua pemimpin-pemimpin pembangkang bersetuju dengan matlamat menubuhkan sebuah Negara Kebajikan. Tidak ada di sebutkan langsung tentang Negara Islam atau perlaksanaan hukum Hudud. Sudah pasti kenyataan dari Nik Aziz ini memeningkan kepala pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain. Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung DAP terus meminta suatu mesyuarat tergempar di adakan bagi membincangkan perkara ini.

5. Aku percaya bagi semua pemerhati yang mengikut perkembangan politik semasa dan yang berupaya berfikiran rasional akan mempersoalkan apakah asas pakatan antara dua parti ini. Menggelar mereka sebagai pakatan rakyat tapi realitinya apabila timbul perkara asas macam ini pun dah huru-hara. Seorang ke hulu seorang ke hilir.


Keratan dari akhbar Utusan Malaysia

6. Mari kita cuba lihat Perlembagaan DAP. Antara matlamat utama parti DAP adalah berjuang menerusi cara-cara berperlembagaan dalam menubuhkan satu masyarakat bercorak demokratik sosialis di Malaysia; Kita lihat pula matlamat parti PAS dalam Perlembagaannya dan dinyatakan memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup lslam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahankan kesucian lslam, juga kemerdekaan dan kedaulatan negara.

7. Demokratik sosialis lawan nilai nilai-nilai hidup lslam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah? Tak “matching” langsung.

8. Kedua-dua parti dalam perlembagaannya menyebut tentang mencapai usaha mereka dalam batas-batas Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu jika PAS mahu melaksanakan Hukum Hudud apa yang perlu dilakukan adalah meminda Perlembagaan Persekutuan, meminda Kanun Keseksaan dan undang-undang lain seperti Akta Keterangan dan sebagainya. Ini seperti yang dikatakan oleh Datuk Zaid Ibrahim, seorang peguam, Presiden parti KITA. Ini cara berperlembagaan. Sebagai pegamal undang-undang aku mengatakan apa yang dinyatakan oleh Datuk Zaid itu betul.

9. JIka PAS mahu meminda perlembagaan, apa yang perlu dilakukan adalah ia perlu mempunyai kuasa majority dua pertiga (2/3) dalam Parlimen. Maknanya PAS perlu ada wakilnya yang menduduki kerusi sebanyak 142 kerusi dalam Dewan Rakyat untuk menyokong pindaan Perlembagaan. Ini cara yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Realitinya dalam semua Pilihanraya Umum PAS tidak pernah bertanding penuh untuk 2/3 kerusi. Baru-baru ini ada pemimpin PAS yang mereka yakin dapat 60 kerusi Dewan Rakyat dalam Pilihanraya Umum ke 13 nanti. 60 kerusi? Mana perginya baki 82 kerusi untuk mencukupi kuasa jika mahu meminda Perlembagaan?

10. PAS akan berharap parti pembangkang lain untuk mencukupkan baki kerusi tersebut bagi mendapat kuasa yang kuat menurut Perlembagaan. Tetapi parti pembangkang lain mahu ke menyokong untuk penggubalan Hukum Hudud? Karpal Singh, pemimpin DAP secara konsisten menentang idea penubuhan Negara Islam dan hokum hudud. Beliau pernah berkata “ langkah mayat saya dahulu” jika mahu tubuhkan Negara Islam dan laksanakan Hukum Hudud.Ini boleh diumpamakan Cuba tidur sebantal....tetapi mimpi masing-masing adalah berlainan!

11. Dalam televisyen semalam terkeluar kenyataan paling lucu dari pemimpin PAS. Katanya DAP dan orang bukan Islam tak perlu takut kerana Hudud hanya dilaksanakan ke atas orang Islam sahaja. Aku sebagai pengamal undang-undang tidak boleh terima kenyataan pemimpin PAS yang cuba memperbodohkan rakyat. Hudud adalah bekenaan dengan undang-undang Jenayah. Seperti kata Datuk Zaid Kanun Jenayah perlu dipinda. Jika kata pemimpin PAS mengatakan hudud dilaksanakan ke atas orang Islam sahaja, maka akan ada dua wajah dalam perlaksanaan undang-undang. Orang Islam yang disabitkan mencuri akan terpotonglah tangannya manakala orang bukan Islam hanya dihukum penjara. Undang-undang mestilah saksama untuk semua pihak dan bukannya alat untuk mendikriminasikan rakyat. Adakah pesalah-pesalah kesalahan mencuri contohnya, boleh dilabelkan berdasarkan agama mereka iaitu yang duduk dalam penjara adalah pesalah bukan Islam dan yang mundar-mandir dan “kontong” tangannya adalah pesalah beragama Islam?

12. Tok Guru Nik Aziz menekankan Hukum Hudud akan dilaksanakan di Kelantan melalui Enakmen Jenayah Syariah baru yang akan digubalkan. Biar betul Tok Guru ni! Bidang kuasa perundangan Jenayah terletak dalam bidangkuasa Parlimen bukan Dewan Undangan Negeri. Dewan Undangan Negeri hanya boleh buat undang-undang dalam Senarai Negeri sahaja kecuali jika Perlembagaan Persekutuan dapat dipinda. Ini akan berbalik kepada persoalan seperti disebut di atas, boleh ke PAS pinda Perlembagaan Persekutuan ini?

13. Seperti yang aku katakan sebelum ini aku dambakan sebuah Negara aman damai dan makmur dan mahu aku,keluarga serta keturunanku hidup aman dan damai di negara ini. Dalam keadaan aman damai ini aku berupaya untuk beribadah dan sujud kepada Illahi dengan aman dan damai. Negara yang aman makmur dan damai memerlukan Kerajaan yang stabil dan mengutamakan keamanan dan kemakmuran rakyat. Jika Kerajaan yang kelam kabut dan huru hara terutamanya dalam perkara dasar, aku tidak yakin Kerajaan ini boleh memerintah dengan baik. Perkara ini bergantung kepada keputusan rakyat yang dibuat dengan fikiran rasional beserta dengan kecintaan kepada keamanan dan kedamaian. Bukan dengan minda yang jumud,taksub dan tidak rasional.

14. Ayuh rakan-rakan, sahabat-sahabat dan kawan-kawan yang berupaya berfikir! Fikirkanlah!

Comments

  1. Apa yg masalahnya?
    Selama ini UMNO tidur sebantal dengan MCA & MIC, lain-lain je mimpi mereka.
    Kan kan?

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Tugu Peringatan Sg Lui?

PERLU KE IKTIRAF UEC?

Masjid Kg Ulu, Melaka Tengah,Melaka 1728: Aku pernah berucap di dalamnya!