OK ke mansuhkan ISA?..Cer Cerita!


1. Baru-baru ini Datuk (DS) Seri Najib telah mengumumkan bahawa Kerajaan yang dipimpin oleh beliau bakal memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA). Alasan yang diberikan adalah tindakan ini sebagai salah satu Proses Transformasi Perundangan kepada perundangan yang lebih releven dan mengutamakan hak serta kesejahteraan rakyat.

2. Berbagai reaksi timbul dari pengumuman DS Najib ini. Ramai yang menyokong serta mengalu-alukan transformasi ini. Ramai juga yang ragu-ragu. Kelihatan juga pihak pembangkang mengatakan perjuangan yang selama ini didokong mereka telah membuahkan kejayaan.Ada juga kedengaran cakap-cakap bahawa melalui pengumuman yang dibuat DS Najib menandakan Pilihanraya Umum kian hampir.

3. Ada yang bertanya kepada aku tentang pandangan aku sebagai pengamal undang-undang. Ok ke mansuhkan ISA ini? Sebenarnya , pandangan peribadiku bercampur-campur. Di satu sudut, aku menyokong ISA kerana aku melihat ia adalah suatu senjata yang efektif untuk menentang dan mencegah terorisma, kegiatan subversif atau apa-apa perlakuan yang mengancam keselamatan Negara. Pada suatu sudut yang lain aku tidak selesa dengan ISA kerana ia memberikan kuasa yang besar kepada polis dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang tidak boleh dipersoalkan walaupun oleh Mahkamah sekalipun.Jika kuasa ini disalahgunakan ia boleh menjejaskan hak dan kebebasan rakyat.

4. Sebelum jauh aku bercerita, perlu difahamkan walau apapun pandangan, samada baik mahupun negatif terhadap ISA, ISA adalah undang-undang yang sah yang digubal dan diluluskan oleh Parlimen menurut Perlembagaan Persekutuan. Akta ini digubal dan diluluskan dibawah peruntukan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa bertujuan untuk menghalang serta mencegah ancaman-ancaman keselamatan Negara. Di bawah Perkara 149 jenis ancaman yang diklasifikasikan sebagai ancaman keselamatan Negara adalah:-

a. Kekerasan yang dirancang terhadap orang atau harta yang menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan kekerasan itu; atau

b. Membangkitkan persaan tidak suka (benci) terhadap Yang DiPertuan Agong atau mana-mana kerajaan dalam Persekutuan; atau

c. Mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk yang mungkin menyebabkan kekerasan;atau

d. Untuk mengubah, dengan apa-apa cara yang lain daripada yang sah, apa-apa jua yang tertubuh menurut undang-undang; atau

e. Yang memudaratkan penyelenggaraan atau perjalanan apa-apa bekalan atau perkhidmatan kepada orang ramai atau mana-mana golongan orang ramai dalam Persekutuan atau mana-mana bahagian dalamnya:atau

f. Yang memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan dalam persekutuan atau mana-mana bahagian di dalamnya.;

Dalam ISA juga turut ditambah ancaman terhadap kehidupan ekonomi dalam Persekutuan turut digambarkan sebagai ancaman kepada Negara.

5. ISA digubal pada tahun 1960 mempunyai 2 tujuan utama. Pertamanya, sebagai Akta Parlimen yang menamatkan Perisytiharan Darurat 1948 dan keduanya sebagai alat untuk memerangi kegiatan subversif dan terorisma. Walaupun ianya bersifat “ terpakai untuk semua keadaan yang mengancam keselamatan negara” namun fokus utama semasa penggubalannya adalah untuk memerangi kegiatan komunis.Selepas komunis meletakkan senjata pada era 80’an trend penggunaan ISA juga berubah. Apa sahaja yang “mengganggu ketenteraman awam dan mengancam keselamatan Negara” seperti yang diputuskan Menteri akan membawa kepada penggunaan ISA.Perlu diingat Mahkamah hanya boleh mempersoalkan penahanan jika kaedah atau prosedur penahanan tidak diikuti tetapi sesekali tidak boleh mempersoalkan keputusan Menteri yang menandatangani perintah tahanan. Dibawah ISA pihak Polis boleh menahan seorang individu selama 60 hari ditempat yang dirahsiakan bagi tujuan penyiasatan. Tiada akses untuk lawatan keluarga atau khidmat peguam. Selepas 60 hari individu tersebut boleh dibebaskan atau ditahan di Pusat tahanan selama 2 tahun. Tempoh 2 tahun ini boleh dilanjutkan dengan perintah Menteri.

6. Peruntukan ISA ini memberi kuasa yang besar kepada polis dan Menteri tanpa boleh dipersoalkan oleh sesiapa. Apa jaminannya polis atau Menteri tidak menyalahgunakan kuasa yang diberikan ini? Pernah rakan peguam mengatakan jika polis tidak menyukai seseorang individu atau hanya mensyaki seseorang individu ini melakukan kesalahan jenayah, pihak polis boleh menahannya dibawah ISA tanpa memberikan sebab mahupun menzahirkan bukti kesalahan jenayahnya. Dalam konteks ini aku tak kisah kalau ia diperlakukan keatas komunis atau pengganas tetapi jika ini diperlakukan ke atas rakyat, ianya adalah sesuatu yang menakutkan! Lebih menakutkan jika ISA digunakan atas sebab dan motif politik!

7. Suatu ketika dahulu, ketika aku baru sahaja diberikan lesen beramal sebagai pengamal undang-undang, aku ditugaskan ke Pusat Tahanan Kamunting, daerah Taiping untuk menemuramah tahanan ISA yang ditahan di Pusat tersebut. Dalam temuramah tersebut aku dapati tahanan tersebut ditahan dibawah ISA kerana terlibat dalam kegiatan memalsukan duit syiling RM1.00. Duit syiling yang dipalsukan ini amat serupa dengan syiling RM1.00 sebenar yang dikeluarkan oleh Bank Negara. Bukan sekeping dua yang dipalsukan tetapi ribuan keping . Menurutnya, duit syiling yang dihasilkan lazimnya dijual dengan harga RM 60.00 untuk 100 keping syiling. Bayangkanlah jika beribu-ribu wang syiling ini digunakan dalam pasaran. Rakyat yang tidak tahu akan menggunakannya untuk membuat pembayaran. Ambil contoh pembayaran bil TNB.Setiap hari TNB mengutip bayaran bil jutaan ringgit. Apabila kutipan itu hendak dimasukkan ke dalam Bank, separuh dari wang syiling tersebut ditolak kerana palsu. Bayangkan apa yang bakal terjadi kepada TNB jika perkara ini tidak dicegah? TNB boleh gulung tikar dan ramai pekerja akan diberhentikan. Bukankah ini adalah ancaman kepada kehidupan ekonomi yang perlu dicegah?

8. Masa ramai orang sibuk suatu masa dahulu dengan laungan reformasi dan berdemonstrasi banyak harta benda awam yang punah . Motorsikal polis pun pernah dibakar.Peniaga takut untuk buka kedai takut barang mereka dimusnahkan atau kedai mereka dicerobohi. Pelabur asing atau bakal pelabur yang melihat keadaan ini dalam CNN menjadi takut untuk melabur di Malaysia. Peniaga – peniaga rugi jutaan ringgit kerana tidak dapat berniaga. Situasi sama dilihat akibat dari kedua-dua Perhimpunan Bersih. Bukankah itu ancaman –ancaman ketenteraman , keselamatan dan kehidupan ekonomi seperti dinyatakan sebelum ini?

9. Bagi diriku, keadaan-keadaan ini sudah cukup memadai untuk membolehkan ISA digunakan.Namun dari apa yang aku perhatikan kerajaan yang dipimpin oleh DS Najib amat berhati-hati dan sebolehnya mahu mengelak dari menggunakan alat pencegahan ini.Persoalannya KENAPA?

10. Baru-baru ini aku berpeluang menghadiri suatu Majlis Penerangan di Klana Resort Seremban. DS Hishamuddin selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri antara lain ada menyatakan bahawa DS Najib tidak mahu menggunakan ISA semata-mata untuk menggagalkan gerakan pihak-pihak tertentu yang bermotifkan politik. Jika ada isu yang diperjuangkan , Kerajaan akan menjawab dan menerangkan isu tersebut. Jika ada kesalahan dilakukan biarlah ianya diuruskan oleh pihak yang berkuasa mengikut landas undang-undang yang sedia ada dan tidak perlu gunakan ISA. Bayangkanlah jika ISA digunakan untuk menghalang Perhimpunan Bersih tempohari! Masyarakat di negara ini, malahan masyarakat dunia akan mengutuk Kerajaan bertindak kejam kerana menggunakan undang-undang “ Drakonian” terhadap rakyatnya. Sebaliknya apa yang berlaku pihak Kerajaan melalui pihak polis dan pihak keselamatan telah bertindak secara profesional dalam menangani Perhimpunan Haram Bersih. Jika dalam Perhimpunan Haram Bersih yang pertama, pihak polis dilemparkan dengan berbagai tuduhan melakukan kekerasan terhadap peserta Bersih, namun dalam Perhimpunan Bersih 2.0 , kelentong-kelentong serta temberang pemimpin pembangkang terbongkar apabila pihak polis menanganinya dengan cara yang amat professional. Ini secara tidak langsung telah menaikkan imej dan maruah pihak polis yang sering mahu dicalarkan oleh pembangkang sekaligus menaikan imej kebertanggungjawaban Kerajaan kepada rakyatnya dan ini dilakukan tanpa menggunakan senjata sulit pencegahan yang dinamakan ISA!

11. Oleh itu pengumuman oleh DS Najib adalah suatu petanda baik kepada rakyat. Amat menarik sekali dilihat bahawa ketika ISA dibentangkan di Parlimen 51 tahun dahulu, ia dibentangkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dan kini pembentangan bagi pemansuhannya akan dilakukan oleh anaknya sendiri. Walau apa pun, aku melihat pemansuhan ISA lahir dari keazaman politik Kerajaan yang dipimpin oleh DS Najib dan bukannya di sebabkan oleh pembangkang. Kerajaan boleh buat “dirk” dan biarkan pembangkang terus terpekik terlolong memainkan isu ISA ini. Kalau Kerajaan tak bercadang nak mansuhkan pembangkang tak boleh buat apa pun! Adalah suatu salah kenyataan jika kita katakan pemansuhan ISA ini disebabkan oleh desakan pembangkang. Ia sebenarnya adalah hasil suatu keazaman DS Najib dan Kerajaan dalam usaha mentransformasikan Kerajaan.

Itu pandangan aku…bagi aku OK untuk mansuhkan ISA namun masih perlu ada undang-undang yang mencegah atau membasmi kegiatan subversif,terorisma atau gerakan yang bermatlamat untuk menjatuhkan Kerajaan secara revolusi seperti yang berlaku di Mesir , Libya dan Negara Arab yang lain. Aku tak rela tengok Malaysia ini huru hara dan kacau bilau. Aku cuma dambakan sebuah Negara yang aman makmur untuk aku dan keturunan aku boleh hidup dengan penuh rukun, aman dan damai.

Comments

Popular posts from this blog

Tugu Peringatan Sg Lui?

PERLU KE IKTIRAF UEC?

Masjid Kg Ulu, Melaka Tengah,Melaka 1728: Aku pernah berucap di dalamnya!