Masjid Kg Ulu, Melaka Tengah,Melaka 1728: Aku pernah berucap di dalamnya!


1. Pernahkah anda semua sampai,bersolat atau menziarahi Masjid Kampung Ulu, Melaka Tengah Melaka? Mungkin ini persoalan yang biasa bagi anda semua. Namun bagi aku berpeluang berada di sana dan juga di beri perhormatan untuk berucap ditengah-tengah Masjid itu adalah suatu pengalaman yang besar bagi diri aku sebagai seorang Melayu yang beragama Islam dan tidak akan aku lupakan hingga akhir hayat.

2. Apa istimewanya Masjid ini? Jikalau kita tidak mahu belajar sejarah kita tidak akan jumpa keistimewaannya. Sebagai pembuka coretan kata perlu aku maklumkan bahawa Masjid Kg Ulu, Melaka ini adalah Masjid yang tertua terbina di Malaysia dan masih berfungsi hingga ini.

3. Jika diikutkan sejarah, semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka ada sebuah masjid di bina di mana dipercayai lokasi pembinaannya adalah kawasan bersetentang dengan bangunan Stadhuys (Bangunan Pentadbiran Penjajah Belanda kini dicat merah jambu). Namun semasa tentera Portugis menakluk Melaka pada 24 Ogos 1511, tentera Portugis telah bertindak meruntuhkan serta memusnahkan masjid tersebut atas matlamat mereka menghancurkan agama lain selain Kristian. Maka terkuburlah jejak agama Islam di bumi Tanah Melayu pada masa itu.

4. Mungkin kita tahu bahawa Islam telah sampai lebih awal ke Melaka. Kewujudan Batu Bersurat Terengganu yang ditarikhkan 4 Rejab 702 Hijrah atau bersamaan dengan 12 Februari 1303 mengukuhkan lagi fakta tersebut. Namun tiada Masjid atau rumah Ibadat orang Islam di dokumentasi sebagai wujud pada masa itu kecuali Masjid Kg Ulu Melaka. Oleh itu sejarah mengiktiraf Masjid Kg Ulu adalah Masjid yang tertua di Malaysia.

5. Mengikut sejarahnya Masjid Kg Ulu telah dibina pada tahun 1728 semasa pemerintahan Belanda di Melaka. Berbanding Portugis, Penjajah Belanda lebih bertoleransi tentang agama. Masjid Kg Ulu telah di bina oleh Dato' Shamsuddin bin Arom, Ketua orang Islam pada zaman tersebut (mengikut sejarahnya beliau adalah seorang pedagang Cina yang telah memeluk agama Islam). Binaan Masjid kemudiannya dilengkapkan bersama ubahsuaian oleh Wazir Al Sheikh Omar bin Hussain Al Attas.


Masjid Kg Ulu, Melaka Tengah Melaka

6. Dimaklumkan oleh Noja (Tok Siak) Masjid tersebut, Tuan Hj Abdullah binaan asal Masjid tersebut semuanya diperbuat dari kayu. Namun ia digantikan dengan batu konkrit dari masa ke semasa kecuali 4 tiang seri Masjid tersebut yang dibuat dari kayu keras berlian. Walaupun demikian, konsep asal masjid tersebut dikekalkan . Ciri-ciri senireka masjid dari tanah Jawa telah dimasukkan di dalam senireka Masjid Kampung Hulu. Masjid ini mempunyai bumbung berlapis 3, dengan bentuk seakan-akan piramid. Ruang di antara lapisan-lapisan bumbung ini membolehkan kemasukan udara dan cahaya ke dalam masjid. Mereka percaya bahawa lapisan paling atas bumbung masjid bererti `iman manusia kepada tuhan’, lapisan kedua, `hubungan manusia dengan manusia’ dan ketiga membawa maksud `alam semula jadi yang menghubungkan manusia dengan Pencipta’. Walaupun senireka masjid ini dipengaruhi oleh senireka Jawa., hiasan dengan pengaruh Cina digunakan untuk menghiasi masjid ini. Bahan-bahan seperti jubin seramik dan jubin lantai daripada kerajaan China Dinasti Ching juga digunakan. Motif-motif menghiasi tepian kubah masjid. Menara batu menunjukkan ciri senireka Melaka pada masa itu, dan dipengaruhi oleh rekabentuk pagoda orang Cina. Ukiran dan seni bina masjid menggunakan faktor alam semulajadi. Pengaruh tumbuh-tumbuhan menjadi kriteria utama seni bina dan ukiran pada bahagian dinding dan bumbung masjid berkenaan. Pada hujung bumbung terdapat ukiran berkonsepkan sulur bayur mahkota dan awan larat.Di dalam kawasan masjid tersebut juga bersemadinya Allahyarham Sayyid Abdullah al –Hadad seorang guru agama yang terkenal di Melaka dan mengikut sesetengah orang beliau dianggap “Wali”.

7. Tuan Hj Sulaiman juga turut menceritakan tentang kisah benar yang berlaku di Masjid tersebut. Pernah seorang pengamal perubatan tradisional (bomoh) bersumpah muhabalah dalam masjid tersebut kerana dia telah didakwa menodai perempuan yang diubatinya. Bomoh tersebut bersungguh-sungguh menafikan walaupun perempuan tersebut mengaku dinodai oleh bomoh tersebut. Malah bomoh tersebut menuduh perempuan tersebut sebagai perempuan murahan. Namun mungkin secara kebetulan atau kerana iktibar yang diberi Allah SWT kerana memainkan sumpah, bomoh tersebut mati dilanggar kereta dihadapan rumahnya sendiri genap 7 hari setelah dia bersumpah. Terus fikiranku melayang kepada kes Saiful Bahari dan Datuk Eskay . Agaknya berani ke pihak yang satu lagi tersebut bersumpah di Masjid seumpama Masjid Kg Ulu ini?


Mimbar masjid yang kaya dengan seni ukiran. Unsur senireka cina juga dapat dilihat

8. Kesempatan aku ke Masjid tersebut adalah kerana Masjid tersebut adalah dalam itineri lawatan konvoi jelajah kenegaraan yang dianjurkan oleh Kelab Melayu Negeri Sembilan. Namun saat yang tidak aku lupakan adalah apabila diberikan penghormatan selaku Yang diPertua Kelab Melayu Negeri Sembilan untuk berucap di hadapan jemaah dalam Masjid yang tertua di Malaysia ini. Aku tahu Masjid ini adalah lambang peloporan syiar Islam di Negara ini. Aku tahu kesempatan ini juga tidak ada diberikan kepada semua orang. Aku amat bertuah kerana diberikan kesempatan ini!

9. Diakhir ziarah aku disana aku amat terharu kerana Pengelola Masjid Kg Ulu telah memberikan 10 naskah Al Quran,100 naskah surah Yassin dan 100 keping sejadah dengan amanah agar dimanfaatkan untuk orang-orang Islam. InsyaAllah amanah ini akan dilaksanakan.


Kesempatan berucap di dalam Masjid , suatu pengalaman yang tidak akan ku lupakan



Memberi sedikit sumbangan ikhlas kepada Masjid .Di balas dengan amanah

10. Sekiranya aku di Melaka lagi, azamku adalah untuk bersolat di sana, InsyaAllah!

Comments

Popular posts from this blog

Tugu Peringatan Sg Lui?

PERLU KE IKTIRAF UEC?