Terima Kasih diucapkan, tetapi………

1. Dalam kesempatan ini , ingin aku ucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM) , Tan Sri Muhydin Yassin yang telah membuat lawatan kerja ke Ampangan . Kesudian Tan Sri untuk melawat ke pelusuk dan lopak Ampangan, tempat tanah tumpah darah dan tempat kelahiranku, amatlah aku hargai.

2. Ini ditambah lagi dengan pengumuman dari beliau tentang peruntukan untuk mencantik dan menambahbaik bangunan dan kemudahan di Ampangan . Dalam ucapan beliau beliau mengumumkan peruntukan untuk menambahbaik pasar Ampangan sebanyak RM 500,000-00, pembinaan Bazaar Ampangan sebanyak RM 4 juta dan mengecat semula Bangunan Flat UDA sebanyak RM 5.4 juta. Kesemuanya berjumlah RM 9.9 juta bakal diturunkan ke Ampangan . Inilah kebaikannya apabila pemimpin perdana turun padang dan lumrahnya dia akan bawa turun sekali peruntukan demi untuk kesahjetaraan rakyat.

3. Berbagai reaksi di dengar apakala pengumuman sebegini di buat. Ada yang bersyukur. Ada yang mengatakan ini “gula-gula” pilihanraya. Ada yang dah mula berkira-kira dan menyiasat siapa yang akan dapat “kontrak” untuk kerja-kerja penambahbaikan dan kemudahan ini. Ini semua reaksi-reaksi biasa tetapi persoalannya adakah warga Ampangan bakal menikmati peruntukan dan manfaat dari kerja baik pulih dan pembinaan kemudahan ini?

4. Adakah kontrak kerja baik pulih Pasar Ampangan, pembinaan Bazaar Ampangan dan kerja mengecat Flat UDA ini dapat kepada kontraktor anak Ampangan? Atau kerja-kerja ini sekiranya di bahagikan kepada beberapa pakej kerja dan pakej kerja ini diberikan kepada kontraktor anak Ampangan? Ampangan tidak kurang dengan kontraktor-kontraktor yang berwibawa. Bolehkah mereka menerima manfaat dari peruntukan yang diumumkan oleh TPM ini?

5. Atau…. hanya dapat memerhatikan “orang luar” sahaja mendapat kontrak kerja ini dan hanya menggigit jari ? Sebenarnya dah beberapa kali aku melihat kerja –kerja penambahbaikan yang berlaku di Ampangan diberikan kepada “orang luar”, termasuklah kerja-kerja mencantikkan kawasan Ampangan dalam persediaan menerima ketibaan Tan Sri Muhydin tempohari. Kenapa tidak diberikan kepada anak-anak Ampangan? Aku amat sentimental mengenai perkara ini dan aku tidak mahu anak-anak Ampangan bagaikan “ayam di kepuk mati kelaparan dan itik di air mati kehausan”!

6. Aku tahu mungkin suara pemimpin kecil seperti aku ini mungkin tidak di “apik”kan oleh pihak-pihak berwajib seperti pihak Majlis Perbandaran Seremban. Namun, Ampangan adalah “lopak “ aku dan sebagai anak Ampangan aku wajib mempertahankan kepentingan anak-anak Ampangan!

7. Seperkara lagi yang membuatkan aku menjadi “sentimental” mengenai lawatan Tan Sri Muhydin ke Ampangan apabila aku perhatikan pemimpin-pemimpin tempatan langsung tidak diberikan penghormatan dalam sambutan mahupun majlis yang di adakan untuk Tan Sri Muhydin. Aku dapat lihat Y Bhg Dato Ishak, Ketua UMNO Bahagian Seremban tercari-cari tempat duduk kerana tiada tempat duduk bagi beliau di sediakan oleh pihak penganjur. Ampangan adalah didalam Bahagian Seremban dan Y Bhg Dato Ishak adalah pemimpin UMNO di Bahagian Seremban. Banyak sangat ke kos atau belanja untuk memberikan penghormatan kepada pemimpin tempatan ini? Tan Sri Muhydin naik ke jawatan Timbalan Presiden UMNO atas sokongan dari akar umbi UMNO. Atas sifat jawatannya beliau diberi kepercayaan untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri. Pemimpin tempatan tidak mahukan wang ringgit tetapi sedikit penghargaan pun sudah mencukupi. Apatah lagi apabila majlis di adakan di kawasan pemimpin tempatan tersebut. Adakah pihak penganjur majlis ini tidak faham sensitiviti sebegini? Atau sengaja buat-buat tak faham? Atau merasakan perkara ini tidak releven?




Gambar-gambar lawatan TS Muhydin ke Ampangan dari www.n9kini.com. Di mana pemimpin tempatan?


8. Orang Melayu kaya dengan adat dan tatasusila. Kalau datang ke tempat orang pandai-pandai membawa diri dan menghormati orang. Apa sudah hilangkah amalan adat dan tatasusila ini?

9. Memang aku bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada Tan Sri Muhydin, tetapi………….....Eloklah perkara ini di ambil berat agar tidak berulang di masa hadapan! Fikirkanlah

Comments

Popular posts from this blog

Tugu Peringatan Sg Lui?

PERLU KE IKTIRAF UEC?

Masjid Kg Ulu, Melaka Tengah,Melaka 1728: Aku pernah berucap di dalamnya!