Sudah cukupkah usaha kita ke arah memartabatkan pendidikan bangsa?



Kem Zaaba 2011 anjuran Kelab Melayu NSDK-REGU


1. Bagi membuka bicara kata , tidak terlambat rasanya untuk aku ucapkan “ Selamat Menduduki Peperiksaan PMR” kepada semua calon dan kepada semua anak bangsa yang menduduki Peperiksaan tersebut. Tidak lupa juga kepada anak-anak yang terlibat dalam Kem Zaaba anjuran bersama Kelab Melayu Negeri Sembilan dan Rangkaian Guru-Guru Melayu Negeri Sembilan (REGU) dan aku berharap usaha kita bersama di berkati Allah SWT dengan kejayaan.

2. Apa yang dilakukan oleh Kelab Melayu Negeri Sembilan dan REGU bukanlah suatu perkara yang baharu. Dahulu kerapkali dapat dilihat ahli-ahli Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) melaksanakan program-program seumpama ini iaitu memberikan tiusyen atau bimbingan secara percuma dan sukarela kepada anak-anak bangsa dalam pendidikan.

3. Aku bersetuju dengan pandangan salah seorang bapa kepada anak yang terlibat dalam program ini. Menurutnya dahulu seringkali dilihat program-program seumpama ini sering dianjurkan terutamanya oleh ahli-ahli GPMS, namun kebelakangan ini progam-program seumpama ini tidak lagi kelihatan. Memang betul pandangannya itu. Dalam keterlibatan aku dalam aktiviti kemasyarakatan dewasa ini, dapat aku katakan jarang sekali program-program sebegini dianjurkan.

4. Persoalan timbul dalam benakku, adakah sudah cukup usaha orang Melayu kearah memartabatkan pendidikan anak-anak bangsa Melayu ini? Adakah zaman digital dan Internet ini aktiviti-aktiviti sebegini tidak lagi diperlukan? Walaupun beberapa kali pernah aku bangkitkan dalam sesi “borak malam” bersama rakan-rakan tetapi hanya respons dan sambutan dingin yang di terima. Kurang yang memberi semangat mahupun sokongan moral untuk aku gagahi melaksanakan program ini.

5. Aku tidak mengharapkan sebarang kredit atau pujian kerana melaksanakan program ini. Walaupun menggunakan nama Kelab Melayu dan REGU tapi adakalanya duit aku sendiri yang aku gunakan bagi meneruskan program ini. Apa yang menjadi keutamaan aku agar anak-anak Melayu yang terlibat dalam program ini yang “di cop” sebagai lemah ini dapat dibimbing agar turut sama dapat mengecapi erti “kejayaan”.

6. Aku tahu pihak sekolah, pihak Jabatan Pelajaran , pihak Bank, pihak MEDIA dan Yayasan banyak melaksanakan program-program kecemerlangan pelajar. Mungkin ini menyebabkan ramai di antara kita secara sedar atau sebaliknya menyerahkan usaha-usaha untuk memartabatkan pendidikan anak bangsa bulat-bulat kepada pihak sekolah/Jabatan/Bank/media dan Yayasan. Kita semakin jauh dari memberikan perhatian dan keperihatinan kepada pendidikan anak-anak bangsa. Kadangkala pihak sekolah dan Jabatan terlampau memikirkan Indeks Pencapaian ( KPI) dan Bai’ah (yang di perkenalkan oleh TS Muhydin) sehingga memfokuskan usaha kepada pelajar-pelajar yang pandai sahaja sehingga meninggalkan pelajar-pelajar “lemah”ini. Sebagai iktibar, dalam akhbar baru-baru ini kita dapat baca akibat mahukan pencapaian ada Guru Besar yang sanggup menghalang pelajar-pelajar yang lemah di matanya dari menduduki peperiksaan UPSR. Oleh itu apakah nasib pelajar-pelajar lemah ini? Sedarkah kita kelompok “pelajar lemah” ini kebanyakannya orang Melayu?Sekiranya ini menjadi suatu trend,apa akan jadi kepada pelajar-pelajar ini?

7. Sekarang ini seolah-olah menjadi suatu trend pula. Setiap hujung tahun di adakan majlis untuk menyampaikan bantuan beg sekolah dan kasut sekolah kepada anak-anak miskin. Dapat dilihat pemimpin-pemimpin dengan bangga memberikan sumbangan.Bukanlah aku hendak menentang program-program sebegini. Namun, bukan ke lebih baik jikalau anak-anak miskin ini dapat dibimbing secara percuma juga? Beg dan kasut yang diberi lama-kelamaan akan koyak atau lusuh namun ilmu yang diberikan akan berkekalan.Apakah pemimpin kita sudah ketandusan ilmu dan daya untuk menggerakkan perlaksanaan majlis bimbingan –majlis bimbingan atau mereka sudah tidak ada masa untuk perkara sebegini?

8. Fikirkanlah. Sudah cukupkah usaha kita ke arah memartabatkan pendidikan bangsa?



Ya Allah, berkatilah usaha kami dan berilah rahmat Mu kepada anak-anak ini

Comments

Popular posts from this blog

Tugu Peringatan Sg Lui?

PERLU KE IKTIRAF UEC?

Masjid Kg Ulu, Melaka Tengah,Melaka 1728: Aku pernah berucap di dalamnya!