Walaupun pandai, cakap biarlah berlapik Prof!


1. Bermula isu ini bila seorang Melayu pandai mula secara terang –terang mempertikaikan titah YTM Sultan dalam isu serbuan Jabatan Agama Islam ke atas Gereja Methodist. Katanya, seorang yang bergelar Profesor , titah YTM Sultan mengenai dalam isu serbuan Jabatan Agama Islam ke atas Gereja Methodist tidak konsisten dan dilakukan di luar kelaziman.

2. Semalam ada berita yang memetik kata Tun Mahathir yang menyifatkan kenyataan Profesor ini adalah “kurang ajar”walaupun Tun kurang pasti sama ada kenyataan professor ini menyalahi undang-undang atau tidak. Ada juga berita memetik kenyataan balas dari Profesor tersebut yang menyelar Tun Mahathir dengan mengatakan, “Kalau saya kurang ajar, Tun itu apa? “ Professor ini berkata sedemikian merujuk kepada ucapan Tun dalam membentang rang undang-undang pindaan perlembagaan yang menghadkan kuasa Raja-Raja pada tahun 1993.

3. Profesor inilah yang lantang mengkritik Kerajaan , mengkritik BN lebih-lebih lagi dalam isu BN mengambilalih kuasa pemerintahan di Perak. Dia kerap mengatakan tindakan BN tersebut tidak berperlembagaan. Apabila Mahkamah memutuskan bahawa Kerajaan BN yang mengambilalih kuasa pentadbiran tersebut sah mengikut perlembagaan, Profesor ini mengalihkan kritikan beliau kepada institusi kehakiman pula.

4. 2 perkara yang ingin dibentangkan dalam coretan kali ini. Pertama, adakah kenyataan Melayu pandai ini menyalahi undang-undang? Kedua apa yang Tun Mahathir katakan pada tahun 1993 yang membuatkan Profesor ini cuba menyelar kembali Tun Mahathir?

5. Kenyataan Profesor ini terhadap YTM Sultan seolah-olah menyatakan bahawa YTM Sultan telah membuat sesuatu yang tidak betul. Secara tidak langsung mempertikaikan kewibawaan YTM Sultan dalam menjalankan peranan sebgai Ketua Agama Negeri. Tidak ada cacat celanya titah YTM Sultan ini dan titah ini di beri atas keperihatinannya kepada hal ehwal orang Islam di negeri Baginda. Baginda sebagai Ketua Agama Negeri layak memberikan titah tersebut samada dari segi Perlembagaan atau dari segi mempertahankan kesucian Islam.

6. Mempertikaikan tindakan YTM Sultan yang melaksanakan peranan yang telah diamanahkan kepada Baginda adalah sesuatu yang menghina. Membenarkan kenyataan tersebut tersebar luas dalam sebuah portal menunjukkan professor ini mahu rakyat tahu dia mempertikaikan titah dan kewibawaan YTM Sultan. Ini sudah boleh dikatakan mempunyai niat atau menghasut rakyat bahawa YTM Sultan telah melakukan tindakan yang tidak betul. Ini adalah suatu penghinaan.

7. Akta Hasutan 1948 (disemak 1971) ada menyebut dibawah Seksyen 3 (1) (a) bahawa kecenderungan menghasut ialah kecenderungan bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan. Sekiranya ini dilakukan ,di dakwa dan disabitkan dengan kesalahan, Seksyen 4(1) memperutukkan denda sebanyak RM 5000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali dan sekiranya kesalahan kali kedua boleh dikenakan penjara tidak lebih 5 tahun.

8. Adakah apa yang dikatakan oleh Profesor ini menyalahi undang-undang? Pada pandangan aku adalah “Ya”kerana kenyataan ini jelas mendatangkan penghinaan kepada YTM Sultan. Namun terpulanglah kepada Pendakwa Raya untuk mendakwa Profesor ini jika bukti yang ada cukup untuk mendakwa beliau.

9. Keduanya apa berlaku pada tahun 1993 sehingga Profesor ini menyelar kembali Tun Dr Mahathir? Untuk memahami perkara ini perlu baca ucapan Tun Mahathir dalam Parlimen semasa membentangkan rang undang-undang pindaan Perlembagaan pada 18-01-1993.

10. Perlu diingat, Tun Mahathir pada masa itu perlu membentangkan rang undang-undang pindaan Perlembagaan demi untuk “melindungi rakyat”selepas berlakunya insiden seorang anak raja memukul rakyat selepas perlawanan hoki. Sebelum dari pindaan tersebut semua tindakan raja dan anak raja tidak dapat di pertikaikan walaupun tindakan-tindakan tersebut adalah suatu tindakan jenayah. Pindaan tersebut membawa semula erti Raja Berperlembagaan yang mana Raja juga tertakluk kepada Perlembagaan. Kekebalan Raja masih dikekalkan sekiranya baginda Raja menjalankan tugas dan peranannya selaras dengan Perlembagaan dan undang-undang. Namun Raja tidak terkecuali sekiranya apa yang dilakukan bersalahan dengan undang-undang atau kesalahan jenayah.

11. Walaupun ada pihak pada masa itu mengatakan bahawa Tun Mahathir menderhaka kepada Raja, namun Tun bercakap dalam Parlimen dan tindakannya adalah sah menurut oleh keistimewaan Parlimen (Parliamentary privilege) yang dijamin oleh Perlembagaan. Seingat aku, pada masa itu rang undang-undang pindaan tersebut telah diluluskan secara sebulat suara oleh Parlimen. Hanya setelah pindaan tersebut diluluskan, barulah Tun Mahathir mengadakan beberapa sesi penerangan bagi menjelaskan kepada rakyat mengapa pindaan tersebut perlu dibuat. Persoalannya adakah itu biadap? Pertamanya, ketika kenyataan kali pertama ianya dibuat dengan jaminan Perlembagaan dan tidak menyalahi undang-undang. Keduanya, kenyataan Tun Mahathir dalam sesi penerangan di buat setelah pindaan tersebut diterima. Tun hanya menjelaskan kepada rakyat apa yang telah tersurat.

12. Bagiku Tun tidak biadap ataupun menderhaka kerana kenyataan yang dibuat berlandaskan undang-undang. Tapi Profesor ini buat kenyataan atas landasan apa?

13. Bak kata orang tua….walaupun pandai tapi tidak semestinya bijak! Perlukah dipesan kepada Profesor ini…Walaupun pandai, cakap biarlah berlapik Prof!

14. Aku berharap jangan ada anak Negeri Sembilan yang cuba mengikut cara Melayu pandai yang tidak bijak ini!

Comments

  1. Prof Aziz adalah seorang yang riak dan menganggap tiada orang lain yang pandai daripadanya. Tetapi dia lupa kepandainnya hanyalah dipinjamkan oleh Allah kepadanya. Bertaubatlah Aziz Bari.....

    ReplyDelete
  2. My advice to the Prof "Control your tongue". Among the most beloved of people to Allah swt are those who have the best attitudes. And if you feel uncomfortable about something, then leave it alone. MRoy.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Tugu Peringatan Sg Lui?

PERLU KE IKTIRAF UEC?

Masjid Kg Ulu, Melaka Tengah,Melaka 1728: Aku pernah berucap di dalamnya!